Ts. Muhammad Hazani (dua kanan) menjukkan artifak kapal karam Pulau Bidong di Galeri INOS UMT.

KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT)  melancarkan galeri artifak bawah air realiti terimbuh (Augmented Reality, AR) pertama di Malaysia, sekali gus menjadikan penunjuk aras baharu dalam usaha memelihara warisan maritim negara.

Galeri ini memberi tumpuan kepada sejarah ketamadunan dan perdagangan di nusantara, khususnya yang berkaitan dengan penemuan kapal karam di perairan pantai timur.

Penemuan Kapal Karam Bidong pada tahun 2012 oleh nelayan tradisional, Zazeri Ajang menjadi titik tolak bagi penyelidikan arkeologi bawah air yang berterusan di UMT.

Ekskavasi pertama dijalankan pada tahun 2017 dan diikuti oleh kejayaan ekskavasi kedua dan ketiga pada tahun 2022 dan 2023.

Hasil daripada ekskavasi itu menemukan pelbagai artifak berharga yang kini di bawah jagaan Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan, UMT.

Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri (tengah) mengadakan kunjungan ke Galeri INOS bagi melihat teknologi AR yang disediakan di galeri artifak.

Dalam usaha untuk berkongsi penemuan itu dengan masyarakat, UMT telah bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Digital Geoscience Global (DGeG) dan Perbadanan Kemajuan Teknologi Malaysia (MTDC) bagi menghasilkan pameran interaktif yang menggabungkan teknologi pengimbasan 3D dan realiti terimbuh.

Pameran di Galeri Institut Oseanografi dan Sekiatan (INOS) UMT bukan sahaja memaparkan sejarah masa lalu, tetapi juga memanfaatkan teknologi terkini untuk mengekalkan warisan tersebut untuk generasi akan datang tanpa merosakkan artifak asal.

Menurut Naib Canselor UMT, Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, galeri INOS yang menempatkan artifak-artifak bersejarah itu merupakan pertama seumpamanya di Malaysia dengan menggunakan teknologi AR dan VR dalam memperkasakan bidang geosains dan geowarisan.

“Kerjasama dengan MTDC melalui teknologi realiti terimbuh ini sebahagian daripada pembangunan pangkalan data integrasi dan geospatial yang sedang dijalankan oleh UMT bersama Cradle Fund Sdn Bhd.

“Teknologi ini akan menghubungkan data geologi di bawah
satu pangkalan data berasaskan awan yang membolehkan visualisasi AR dan model 3D,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DGeG, Sarah Rahman berterima kasih atas kerjasama yang diberikan semua pihak dalam usaha mewujudkan galeri artifak AR pertama di Terengganu.

“Penggunaan pemodelan AR dan 3D akan memastikan pemeliharaan artifak budaya dengan cara yang lebih komprehensif, serta menyediakan rekod penting sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan,” tambah beliau.

Mohd Zamri menyifatkan sokongan daripada MTDC dan DGeG melalui program TechnoTube telah menjadi pemangkin kejayaan projek itu.

“Melalui inisiatif ini, UMT kini berdiri sebagai perintis dalam mengintegrasikan teknologi AR dalam pemeliharaan warisan maritim negara, sekaligus membangunkan pangkalan data digital artifak pertama yang komprehensif di Malaysia,” ujarnya. – MalaysiaGazette