Muhammad Sanusi (empat dari kanan) mengadakan lawatan ke kilang MNFSB di Gurun, Kedah hari ini.

GURUN – Kerajaan Negeri Kedah bersedia menyediakan tanah untuk pembangunan kilang baja, Malaysian NPK Fertilizer Sdn Bhd (MNFSB) menerusi kerjasama Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai usaha memperkasakan sektor pertanian negeri ini.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, langkah ini bertujuan mempertingkatkan teknologi pertanian dan hasil pengeluaran petani serta peladang di negeri Kedah.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara Nafas dan Kerajaan Negeri dalam merealisasikan hasrat tersebut.

“Kerjasama yang lebih erat antara peladang dan agensi seperti Nafas perlu dipertingkatkan untuk memajukan sektor pertanian.

“Pada hemat saya, menerusi lawatan ini terdapat banyak ruang yang perlu diaktifkan menerusi jalinan kerjasama yang lebih erat antara peladang dan petani dengan agensi seperti Nafas dan juga Kerajaan Negeri,” katanya ketika berucap selepas mengadakan lawatan ke kilang MNFSB buat julung kali hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jemaah Pengarah Nafas, Datuk Zamri Yaakob, Ketua Pegawai Eksekutif MNFSB, Abd Halim Hamzah dan pengurusan Nafas.

Sementara itu, MNFSB yang merupakan syarikat usahasama NAFAS dan Petronas Chemical Fertilizer
Kedah Sdn Bhd (PCFKSB) telah mengorak langkah baharu dalam inovasi baja dengan penggunaan formulasi baharu yang mampu meningkatkan hasil pengeluaran padi.

Usaha itu telah dilaksanakan bersama dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) melalui program Smart SBB Asnaf kelolaan LZNK selama
dua musim dan akan diteruskan untuk musim akan datang sebagai salah satu komponen Gelombang Padi Kedah.

“Penggunaan formulasi baharu ini telah mencatatkan peningkatan konsisten dalam hasil padi di kawasan seluas 200 hektar.

“Selain itu, MNFSB juga terlibat dalam projek tanaman padi LZNK di Chepir, Sik, di mana keseluruhan kawasan projek menggunakan pakej baja lengkap.

“Hasil yang diperoleh menunjukkan peningkatan purata sebanyak tiga metrik tan di kawasan seluas 12 hektar yang sebelum ini telah ditinggalkan selama tiga tahun akibat kegagalan mengeluarkan hasil yang memuaskan sekali gus membuktikan projek ini mempunyai potensi besar dalam meningkatkan pengeluaran padi di negeri ini,” katanya.

Tambah kenyataan itu, MNFSB turut bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) untuk mengkaji penggunaan formulasi baharu ini di empat wilayah MADA bagi mendapatkan data teknikal yang diperlukan.

“Kajian ini diambil sebagai sebahagian daripada usaha memenuhi aspirasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui program Gelombang Padi yang diperkenalkan awal tahun ini.

“Komitmen MNFSB dalam menerajui inovasi dan meningkatkan hasil padi di negeri Kedah terus selari dengan peranannya sebagai ‘negeri Jelapang Padi’,” katanya. – MalaysiaGazette