Tuan Ibrahim Tuan Man

KUANTAN – Pemilihan Pahang sebagai tuan rumah Muktamar Tahunan Pas kali ke-70 mempunyai isyarat jelas selepas parti itu mencapai keputusan yang agak baik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pilihan raya itu menyaksikan bagaimana Pas Pahang bersama Perikatan Nasional (PN) mendapat kepercayaan rakyat.

“Kita menyaksikan bagaimana Pas Pahang bersama dengan Perikatan Nasional (PN) telah mendapat kepercayaan lonjakan sokongan pada 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang menyaingi Barisan Nasional (BN) hampir sama,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menyentuh tentang penganjuran Muktamar Tahunan Pas kali ke-70, Tuan Ibrahim berkata, ia akan diadakan di Pusat Tarbiah Pas Negeri Pahang di Kerdau, dekat Temerloh pada 11 hingga 15 September ini dan merupakan kali kedua Pahang menjadi tuan rumah.

Seramai 5,000 pewakilan dari seluruh negara dijangka menghadiri muktamar itu.

Sementara itu Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung Pas Pusat (DHPP) ke-9 akan berlangsung pada petang ini di Jerantut. – MalaysiaGazette