Khaw Kok Chin

KUALA LUMPUR – Seorang penjawat awam lelaki antara 10 individu yang ditangkap dalam Ops Telomian dan Ops Tosa yang dijalankan secara serentak di ibu negara dan Johor Bahru, baru-baru ini.

Tangkapan penjawat awam berusia 38 tahun itu dibuat di sebuah kuarters kerajaan di Kajang menerusi Ops Telomian, susulan lima serbuan yang dilakukan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

Pengarahnya, Komisioner Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan pertama seorang lelaki, 27 tahun ditahan Bersama sebuah kereta Myvi di Taman Bukit Cheras dan menemui syabu seberat 20.456 kilogram.

Tangkapan kedua juga melibatkan seorang lelaki, 36, bersama kereta Myvi di tempat sama dan menjumpai dadah heroin 24 gram.

Serbuan seterusnya dibuat di sebuah rumah tempat yang sama dan menahan wanita Thailand berumur 35 yang dipercayai ahli sindiket ini.

Katanya, serbuan dibuat di sebuah rumah PPR Desa Tun Razak, Cheras dan menahan wanita, 35.

Dalam pemeriksaan di kediamannya menemui syabu (61 gram), ganja (233 gram), pil erimin 5 (13 gram) dan satu penimbang digital, salotape dan plastik-plastik kosong,

“Ekoran semua tangkapan di atas, kita telah menangkap penjawat awam yang menjadi dalang pengedaran dadah sindiket ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Kok Chin menambah, Ops Tosa pula melakukan empat serbuan,

Serbuan pertama menangkap seorang lelaki bersama sebuah motor Yamaha LC 135 di Taman Perdana, Johor Bahru dan merampas syabu (125 gram).

Menurutnya, serbuan ke atas sebuah pangsapuri di Kawasan sama turut menjumpai 3.981 kilogram syabu, heroin (1.375 kilogram) dan pil yaba (125 gram).

Dua lelaki masing-masing berumur 29 dan 39 tahun ditahan di Taman Cahaya, Kota Puteri Masai selepas serbuan di sebuah apartmen susulan pemeriksaan dalam sebuah kereta Honda City dan menemui 499 biji pil erimin 5.

Katanya, susulan tangkapan yang dibuat, polis telah menyerbu sebuah rumah pangsapuri di Kempas Indah, Johor Bahru dan menangkap seorang wanita, 39, yang disyaki ahli sindiket kumpulan ini.

Kok Chin berkata, dadah yang dirampas dalam operasi ini bernilai RM2 juta dan dadah yang dirampas boleh digunakan kira-kira 30,000 orang penagih dadah.

Jelasnya, modus operandi sindiket ini adalah mendapatkan bekalan dadah dalam kuantiti besar, kemudian menjualnya secara kecil-kecilan.

“Dadah ini juga diedar untuk pasaran dalam dan luar negara,” ujarnya sambal mengesahkan sindiket ini mula aktif sejak awal tahun ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut beliau lagi, 10 daripada suspek yang dicekup, empat positif methamphetamine dan tujuh lagi ada rekod jenayah lampau.

“Kita akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan sindiket yang masih bebas,” tegasnya. – MalaysiaGazette