Norliza (dua dari kiri) bergambar bersama Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin selepas merasmikan Majlis Pelancaran Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2024 di Bayan Baru di sini.

GEORGE TOWN – Karnival Semarak Merdeka Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) 2024 membawa objektif nilai kemerdekaan dalam perancangan kewangan agar masyarakat bebas daripada hutang.

Pengerusinya, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN menyediakan instrumen simpanan terbaik bagi mendorong dan menggalakkan masyarakat membuat penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan.

Jelas beliau, menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) anak-anak yang mencapai usia melanjutkan pelajaran di universiti boleh ‘merdeka’ daripada membuat pinjaman pendidikan dengan menggunakan simpanan yang dibuat.

Norliza.

“Jadi kalau kita bercakap mengenai pendidikan percuma, inilah peluangnya sebab banyak kelebihan simpan menerusi SSPN termasuk dapat pengecualian cukai sehingga RM8,000.

“Selain itu, kita juga dapat dividen yang kompetitif, setanding dengan agensi lain, jadi rebutlah peluang ini dan ia dijamin oleh kerajaan patuh syariah

“Kalau zaman dulu dapat sambung pelajaran kena jual tanah, harta tapi sekarang kita simpan daripada kelahiran anak itu supaya usia 18 tahun mereka mempunyai cukup sumber kewangan untuk melanjutkan pelajaran,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin merasmikan Majlis Pelancaran Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2024 di Bayan Baru, di sini.

Sempena karnival itu, pelbagai aktiviti disediakan untuk disertai oleh ibu bapa dan anak-anak.

PTPTN juga tidak melupakan golongan asnaf dengan memberikan sumbangan peranti kepada 10 pelajar bagi membantu mereka dalam pembelajaran.

Selain itu, PTPTN turut mengadakan slot Sesi Ngopi’ Bersama Norliza untuk memberikan pendedahan serta informasi mengenai peranan dan fungsi PTPTN dan produk Simpan SSPN. – MalaysiaGazette