KOTA BHARU – Seorang wanita warga emas maut dilanggar sebuah motosikal ketika melintas jalan dekat Kampung Berangan di Tumpat hari ini.
Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata, dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu mangsa yang berusia 72 tahun dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba sebelum dilanggar motosikal berkenaan.
Beliau berkata, motosikal itu ditunggang lelaki berusia 18 tahun yang dalam perjalanan dari Wakaf Bharu ke Tumpat.
“Kerana jarak yang dekat dengan mangsa, motosikal itu tidak sempat mengelak. Mangsa dibawa ke Hospital Tumpat dan disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan hospital berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan. – BERNAMA