Benjamin Netanyahu Foto: TOI

JIKA Intifada Kedua menempatkan Tebing Barat sebagai antara fokus utama rejim Israel ketika itu, kali ini sekali lagi Jenin dan kem pelarian yang berada di sekitarnya menjadi hambatan rejim penjajah.

Kota Jenin yang memiliki seramai 50,000 orang penduduk menjadi sasaran Israel sejak 28 Ogos lalu.

Dalam masa yang sama, Nablus, Tubas, Tulkarm juga menjadi sasaran penjajah dan mengorbankan sehingga kini seramai 17 orang sejak operasi besar-besaran dijalankan di kawasan tersebut.

Kesemua kawasan ini bukanlah berada di Gaza, tetapi berada di Tebing Barat. Gaza dan Tebing Barat telah pun dijajah bermula 1967, dan kekal begitu selama beberapa dekad, sehinggalah Israel berundur dari Gaza pada 2005.

Walaupun selepas Perjanjian Oslo dipersetujui, dan Pihak Berkuasa Palestin dibentuk untuk mentadbir kawasan Tebing Barat dan Gaza pada waktu itu, pihak berkuasa rejim Israel berterusan menjalankan operasi dan mengawal kawasan tersebut termasuklah mengawal beberapa fungsi pentadbiran dan kerajaan tempatan.

Tambahan lagi apabila mereka yang tidak bersetuju dengan Perjanjian Oslo memimpin Israel, pencabulan ke atas persetujuan persempadanan seperti yang termeterai berterusan berlaku.

Ringkasnya, warga Palestin langsung tidak pernah mengawal tanah mereka sendiri; Tebing Barat.

Serangan Israel ke atas warga Palestin di Tebing Barat berlaku setiap hari sejak 2022. Mereka menyasarkan kawasan penempatan warga Palestin, kem pelarian dan perkampungan serta telah membunuh ramai warga Palestin di sekitar Tebing Barat.

Di antara serbuan tentera Israel dan serangan penduduk haram Israel, sekurang-kurangnya 1000 orang telah terbunuh sejak 2022 di Tebing Barat.

Serbuan yang dilakukan oleh tentera Israel bertitik tolak daripada polisi Israel berkenaan Tebing Barat, yang mana telah dijajah sejak 1967 melalui paksaan, mengabaikan persetujuan untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Fokus utama serangan yang dilakukan ini antara lainnya agar pihak penentang tidak dapat mengumpul kekuatan dengan sebaiknya di dalam mencabar kekuasaan Israel.

Serangan 28 Ogos 2024: Operasi Terbesar Israel di Tebing Barat

Operasi ketenteraan Israel di Tebing Barat yang bermula pada 28 Ogos 2024 dikatakan sebagai serangan terbesar di Tebing Barat sejak Intifadah Kedua tercetus pada 2002.

Israel melihat bahawa semua operasi ketenteraan yang dijalankan di Gaza, Lubnan dan Tebing Barat ialah padang sasar yang memiliki sasaran yang sama, iaitu Iran.

Gerakan penentang seperti Hamas dan Hizbullah serta gerakan pejuang Palestin yang lain dilihat sebagai proksi kepada Iran.

Menteri Luar Israel sejurus operasi di Tebing Barat dijalankan mengatakan bahawa Iran sedang dalam “usaha menubuhkan sebuah jaringan pengganas di Timur,” untuk menentang Israel di Tebing Barat dengan cara “mendanai dan menyediakan senjata kepada pengganas dengan menyeludup senjata melalui Jordan.”

Tetapi seperti dinyatakan melalui perenggan sebelumnya, serangan Israel ke atas Tebing Barat ini telah pun bermula sejak 2022, dan mengalami peningkatan sejak Netanyahu memimpin kerajaan; dengan pelantikan menteri-menteri yang anti kepada Palestin.

Serangan ke atas Jenin turut menjejaskan capaian kepada bekalan keperluan. Doctors Without Borders dalam kenyataan menyebutkan bahawa rejim Israel menghalang akses kepada fasiliti kesihatan dan menyasarkan pergerakan ambulans.

Selepas 10 hari melancarkan serangan, rejim Zionis telah berundur daripada Jenin dengan meninggalkan kesan yang besar bukan sahaja kepada infrastruktur, tetapi juga kepada jiwa. Sekurang-kurangnya 21 orang warga Palestin terbunuh, 130 lagi cedera dalam serangan yang memakan masa 10 hari.

Berdasarkan laporan Majlis Perbandaran Jenin, rejim Israel telah menghancurkan hampir 70% laluan darat dan 20km jaringan air serta sistem kumbahan sejak melancarkan serbuan ke atas Jenin pada 28 Ogos.

Hampir 80% kem pelarian, yang menempatkan seramai 20,000 orang kini tiada akses kepada air.

Kementerian Luar Palestin dalam satu kenyataan menyebutkan Israel memindahkan segala serangan dan keganasan yang dilakukan di Gaza ke Tebing Barat; sebagaimana kelihatan melalui keadaan di Jenin dan Tulkarem.

Walaupun laporan menyebutkan rejim Zionis sudah mengundurkan diri daripada Jenin, kehadiran mereka di Tulkarem dan Balata masih ada. Ini menyebabkan pertembungan antara rejim dan kumpulan penentang berterusan berlaku di kedua kawasan ini.

Tidak cukup Gaza menjadi padang sasar, kini Tebing Barat juga menjadi sasaran mereka. Tidak lain untuk melemahkan kumpulan penentang dan mengelakkan kumpulan ini untuk mengumpul kekuatan.

Kerana itu antara yang terkorban sepanjang serangan Israel ke atas Tebing Barat terutamanya turut mengorbankan pemimpin utama gerakan penentang, antaranya Abu Syuja’.

Serangan Israel yang kini kelihatan seperti tiada hala tuju, semuanya berpunca daripada Netanyahu yang ingin mengekalkan kekuasaan di pentas politik Israel.

Demonstrasi yang berterusan berlangsung di seluruh Israel menunjukkan kemarahan dan gesaan agar kabinet yang dipimpin Netanyahu bersetuju untuk mencapai gencatan senjata; dengan tujuan mengembalikan semua tahanan di Gaza kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Seramai 750,000 orang dicatatkan berkumpul di seluruh Israel; 500,000 di Tel Aviv dan 250,000 lagi di sekitar Israel.

Antara yang terlibat di dalam demonstrasi ini adalah mereka yang terlibat sebagai askar simpanan di Gaza dan sudah kembali ke Israel, ahli keluarga tentera yang masih berada di lapangan dan ahli keluarga tahanan, yang berterusan menyeru Netanyahu bersetuju untuk gencatan senjata di Gaza.

Dijangka demonstrasi ini akan berterusan sehinggalah kerajaan Israel bersetuju untuk mencapai gencatan senjata di Gaza.

Dengan tindakan keganasan Netanyahu di Gaza semakin mendapat perhatian masyarakat, serangan yang dilakukan ke atas Tebing Barat hanya akan membuktikan bahawa Israel tiada niat untuk bersetuju dengan gencatan senjata di Gaza.

Sudah sampai masanya kuasa besar masuk campur dan menghentikan segala keganasan ini sebelum tiada apa lagi yang tersisa untuk kita tangisi.-MalaysiaGazette

Muhammad Syahmi Afiq

Muhammad Syahmi Afiq Mohd Shukari
Ketua Jabatan Advokasi dan Penerbitan Persatuan Cinta Gaza Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast