KUALA LUMPUR – Spekulasi status Jue Aziz terjawab apabila dia sah bergelar isteri kepada jejaka pilihan hati yang dikenali sebagai Ridwan dalam sebuah majlis pernikahan pada 18 Ogos lalu.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh pelakon itu di media sosial miliknya, Jue atau nama lengkapnya Zuliana Abdul Aziz mengesahkan majlis pernikahan itu yang turut dihadiri ahli keluarga terdekat.
“Dan apa sahaja nikmat dan kebaikan yang kamu ada, ia datang dari Allah,” tulis Jue di ruangan kapsyen.
Sebelum ini, tular khabar angin mendakwa Jue berkahwin sekali lagi selepas dia memuat naik video mengenakan pakaian pengantin dengan tangan yang berinai.
Namun netizen menganggap hantaran tersebut hanyalah satu gimik melibatkan produk kosmetik jenamanya.
Untuk rekod, Jue pernah mendirikan rumah tangga dengan pemuzik dari Indonesia, Bayu Pramana Putra Achmad Daniel pada Mac 2014 dan bercerai Januari 2019.
Hasil perkahwinan itu mereka tidak dikurniakan cahaya mata namun mempunyai seorang anak angkat iaitu Darwish Naufal, 11 tahun. – MalaysiaGazette