Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bergambar bersama dengan Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang baharu dilantik.

KUALA LUMPUR – Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia diingatkan mengambil peranan yang lebih proaktif dalam membantu memacu ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, duta yang mewakili Malaysia ke luar negara untuk menarik pelaburan dan perdagangan penting ketika memikul tanggungjawab tersebut.

Ingatan tersebut disampaikan Anwar ketika menerima kunjungan hormat daripada Ketua-Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang baharu dilantik hari ini.

“Saya juga tekankan fokus Kerajaan Madani untuk terus merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, antaranya melalui manfaat perdagangan dan pelaburan luar berkualiti tinggi.

“Justeru, adalah sangat penting untuk semua Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia mengambil peranan yang lebih proaktif dalam menyusul, meneroka serta menarik pelaburan dan perdagangan penting bagi memacu ekonomi negara.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan atas pelantikan ini dan semoga mereka menggalas tanggungjawab dan amanah ini dengan penuh tekad dan keazaman,” kata Anwar.

Perdana Menteri turut mengingatkan Ketua-ketua Perwakilan Diplomatik bahawa mereka mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan segala kepentingan negara sentiasa dipelihara dan diperjuang.

Kesemua perwakilan menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 27 Ogos lalu.

Ketua Perwakilan Malaysia ke luar negara yang baharu dilantik ialah Duta Besar Malaysia ke Mesir, Datuk Mohd Tarid Sufian; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Darussalam, Datuk Mohd Aini Atan dan Duta Besar Malaysia ke Sweden, Sarimah Akbar.

Turut menerima watikah pelantikan ialah Duta Besar Malaysia ke Qatar Faizal @ Mohd Faizal Razali dan Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu, Tengku Datuk Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.

Penerima watikah pelantikan lain ialah Duta Besar Malaysia ke Peru, Ahmad Irham Ikmal Hisham dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Bangladesh, Mohd Shuhada Othman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast