Pemandu bas yang memuat naik rakaman video murid perempuan sekolah rendah sebagai orang kesayangan atau 'crush' didakwa di Mahkamah Sesyen Muar hari ini.

MUAR – Seorang pemandu bas yang memuat naik rakaman video murid perempuan sekolah rendah sebagai orang kesayangan atau ‘crush’ didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh yang berusia 24 tahun menangis di kandang tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan mencium pipi kanak-kanak perempuan yang juga anak saudaranya berusia empat tahun bagi maksud seksual antara pukul 5 hingga 6 petang dalam sebuah bas sekolah di Simpang Renggam, Kluang pada April sehingga September 2024.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dihukum dengan sebat.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual antara pukul 5 hingga 6 petang di dalam bas sekolah di alamat yang sama, bulan ini.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan amang seksual bukan fizikal di bawah Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Abdul Ghafar Ab Latif mencadangkan jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan.

Beliau berhujah, ini kerana kes berkenaan adalah serius dan mendapat perhatian umum serta pelbagai komen diterima yang mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

Tambahnya, memandangkan seorang mangsa juga adalah anak saudaranya, pihaknya memohon syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa serta kakak dan ibunya yang juga saksi pendakwaan.

Tertuduh yang diwakili peguam Umar Zulkarnain bagaimanapun merayu agar jaminan rendah dikenakan dengan alasan tertuduh tidak mempunyai gaji tetap kerana hanya bekerja sebagai pemandu bas sekolah.

Hakim Sayani kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 10 Oktober ini untuk sebutan sebulan kes serta serahan dokumen.

Terdahulu, tular dalam aplikasi TikTok memaparkan seorang lelaki dipercayai pemandu bas sekolah menggelar seorang penumpangnya yang dipercayai murid  sekolah rendah sebagai orang disukainya atau ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Video berkenaan dimuat naik pemilik dan pengendali akaun TikTok Abang Bas.- MalaysiaGazette