Nurul Fateha menyeka air mata ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Bertam Impian, Melaka

MELAKA – Kematian bayi berusia 8 bulan, Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri dipercayai dibunuh pengasuhnya di sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) Jumaat lalu bukan sahaja ditangisi ibu bapanya, malah meruntun hiba insan lain, Nurul Fateha Md. Sandolah, 37 dan suaminya Mohd. Kamaruddin Helsa Muhd Saad, 42.

Ia susulan punca kes berkenaan iaitu anak dibedung, disumbat botol susu, ditutup dengan kain dan ditekup bantal hampir sama dengan kejadian yang meragut nyawa anak ketiganya, Haura Najia, yang ketika itu baru berusia enam bulan pada 27 Oktober 2022.

Namun dakwa Nurul Fateha apa yang menyedihkan, pemergian anaknya itu sehingga kini tidak mendapat pembelaan sewajarnya apabila laporan bedah siasat yang hanya diperolehi empat bulan selepas itu menyebut kematiannya berpunca akibat pneumonia atau paru-paru dijangkiti kuman.

Ironinya, sebelum itu pengasuh yang membawa anaknya itu ke hospital dalam keadaan yang sudah tidak bernyawa dan kebiruan mengakui dia membedung, memberi susu dan membiarkannya selama enam jam tanpa pengawasan sebelum ditemukan kaku dengan muka terlungkup di atas tilam taska pada 4.29 petang.

Nurul Fateha dan suami, Kamaruddin Helsa menunjukkan gambar anak ketiga mereka, Haura Najia berusia enam bulan yang didakwa meninggal dunia di tangan pengasuh di sebuah Taska di Pulau Gadong, Melaka pada 27 Oktober 2022 tanpa mendapat pembelaan sewajarnya sehingga kini.

“Saya bersyukur apabila kes Al Fateh dapat pembelaan sewajarnya, ibu bapanya dapat tengok sistem kamera litar tertutup (CCTV) kejadian dan laporan bedah siasat diperolehi dalam masa 24 jam sampai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) arah taska tanpa lesen itu ditutup.

“Tapi kenapa untuk kes anak saya macam ada ‘sesuatu’? CCTV dikatakan ada tapi sampai sekarang sudah dua tahun saya tak dapat lihat, punca kematian pula dikatakan akibat jangkitan kuman sedangkan pengasuh mengakui dan meminta maaf atas kecuaiannya.

“Lebih menyedihkan, selepas kejadian barulah saya tahu Taska di Pulau Gadong itu sebenarnya beroperasi tanpa lesen sejak 2017 sehingga 2022 malah tidak pernah langsung dikenakan kompaun,” katanya mengalirkan air mata ketika ditemui pemberita di rumahnya di Taman Bertam Impian, di sini.

Menurut ibu dua anak masing-masing berusia 11 dan 9 tahun itu, kejadian berkenaan turut mendapat perhatian Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin yang berjanji akan membantunya mendapat pembelaan sewajarnya.

Nurul Fateha melepaskan rindu mencium baju terakhir dipakai anaknya Haura Najia berusia enam bulan yang didakwa meninggal dunia di tangan pengasuh di sebuah Taska di Pulau Gadong, Melaka pada 27 Oktober 2022 tanpa mendapat pembelaan sewajarnya sehingga kini.

Sabtu lalu, Kalsom turut mengakui kejadian menimpa Muhammad Al Fateh dan Haura hampir sama berpunca daripada kecuaian pengasuh yang mengambil mudah penjagaan bayi dengan cara membedung, memberikan botol susu dan meninggalkannya tanpa pengawasan sehingga mengakibatkan kematian.

“Tapi saya hairan, kenapa kes anak saya ini hidden (misteri) sangat dan saya tuntut penjelasan sewajarnya daripada JKM bukannya senyap begini malah terus membenarkan Taska berkenaan beroperasi.

“Janganlah berdiam diri dan bila dah jadi begini barulah timbul isu ada Taska tak berlesen malah menyalahkan saya pula sepenuhnya sedangkan saya adalah mangsa kejadian tidak berperikemanusiaan ini,” katanya sambil menyeka air mata.

Mengimbau kembali kejadian menimpa Haura Najia, Nurul Fateha menghantar anaknya itu ke Taska berkenaan sebelum dia dihubungi pengasuh pada 4.29 petang 27 Oktober 2022 memaklumkan bayinya itu tidak sedarkan diri dan sudah dihantar ke klinik namun dirujuk ke Hospital Melaka.

Sebaik tiba di hospital, doktor memaklumkan terpaksa mengambil masa 24 minit untuk melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) namun anaknya itu dalam keadaan kritikal dan memerlukan sokongan mesin bantuan pernafasan.

Doktor mengesahkan peluang anaknya untuk selamat tipis kerana semua organ dalamannya sudah tidak berfungsi dan disahkan meninggal dunia dua hari kemudian.

Manakala dalam kejadian 8 pagi Jumaat lalu, pengasuh Al Fateh menerusi rakaman CCTV dilihat membedung, menyumbat botol susu menutup dengan kain dan menekup muka bayi itu dengan bantal sehingga membawa kepada penahanan pengasuh wanita berusia 34 tahun itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast