Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (tengah).

KUALA LUMPUR – Sayap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Armada memohon Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Iskandar dan Majlis Raja-Raja Melayu agar membatalkan niat kerajaan untuk urus niaga penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, langkah pembatalan  itu perlru dibuat sehinggalah beberapa perkara tertentu dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan.

“Armada dengan rendah diri menyembah takzim memohon ke bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Majlis Raja-Raja untuk membatalkan atau menangguhkan urus niaga penswastaan MAHB,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) hari ini.

Campur tangan Sultan Ibrahim dan Majlis Raja-Raja Melayu jelas Wan Ahmad Fayhsal amat penting bagi memastikan permasalahan melibatkan tata kelola korporat dan kementerian yang telah mencemari nama baik Malaysia khususnya dalam sektor pengangkutan dan logistik melibatkan entiti milik kerajaan dapat diperincikan.

Oleh yang demikian, pihaknya turut menggesa dan mendesak Jawatankuasa Kira-Kira Wang Rakyat (PAC) menyiasat sepenuhnya perkara-perkara berikut dengan memanggil Kementerian Pengangkutan, Khazanah Nasional Berhad, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam soal penswastaan MAHB.

“Armada mahu PAC untuk membuat perbandingan dengan percubaan pertama penswastaan MAHB yang juga melibatkan Global Infrastructure Partners (GIP) pada tahun 2019 dan semua pemain-pemain (korporat dan kementerian) yang terlibat dahulu dan sekarang.

“Masalah-masalah teknikal yang dihadapi oleh Malaysia Aviation Group (MAG) disebabkan kekurangan jurutera-jurutera penerbangan setelah berpindah kerja ke SIA Engineering Company (SIAEC),” katanya lagi.

Wan Ahmad Fayhsal juga mendesak PAC melakukan kajian forensik untuk menentukan sama ada unsur-unsur sabotaj wujud di dalam transaksi pelaburan SIAEC yang melibatkan Khazanah.

“Siasatan ke atas Kementerian Pengangkutan juga perlu dibuat dalam urus niaga ini memandangkan  kesan operasi yang semakin mudarat berkenaan kemampuan Malaysia Airlines untuk memainkan peranannya sebagai syarikat penerbangan nasional.

“Audit tatakelola keselamatan pintu keluar masuk negara jika pengurusan lapangan terbang kita dimiliki pegangannya sebanyak 30 peratus oleh pihak asing dari luar negara.

“Ini kerana urus niaga penswastaan MAHB kepada GIP-BlackRock ini akan membolehkan mereka mempunyai pegangan dan campur tangan dalam pengurusan yang menguasai hampir 40 buah lapangan terbang negara termasuk lapangan terbang yang diguna pakai oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Audit kawal selia korporat terhadap proses tata kelola pemilihan syarikat Global Infrastructure Partners (GIP) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) untuk memegang saham di MAHB.

“Audit kawal selia korporat ke atas peranan yang bakal dimainkan oleh syarikat asing terhadap strategi dan pengurusan MAHB di masa hadapan,” katanya lagi.

Jun lalu, Wan Ahmad Fayhsal secara terbuka turut menamakan individu terbabit yang didakwanya pegawai atasan di KWSP di Dewan Rakyat.

Disebabkan itu, beliau digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan pada 18 Julai lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast