KUALA LUMPUR – Progres kerja-kerja di tapak insiden tanah jerlus akan dimaklumkan kepada peniaga-peniaga di kawasan Jalan Masjid India secara mingguan, kata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Katanya, keputusan itu dibuat hasil sesi libat urus pertama di antara DBKL dan wakil peniaga dipengerusikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kula Segaran, 5 September lalu.
Sesi berkenaan turut dihadiri Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Mohamad Hamim, wakil Malaysia Indian Goldsmiths and Jewellers Association (MIGJA), peniaga Wisma Yakin, Pengurusan Masjid India, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), dan beberapa Ahli Parlimen Kuala Lumpur.
“DBKL dan semua agensi berganding bahu menjalankan kerja – kerja membaikpulih kawasan sekitar Masjid India termasuk kerja – kerja pemulihan dan pembinaan semula bagi memastikan kawasan Jalan Masjid India kekal selamat untuk dikunjungi,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada sesi libat urus kedua pula, DBKL memaklumkan kerja-kerja pembaikan lurang di lokasi insiden masih dijalankan.
“Jalan Masjid India akan ditutup sepanjang 160 meter dari Wisma Yakin sehingga Bit Polis Jalan Masjid India bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pemeriksaan utiliti dan struktur tanah, bermula hari ini” katanya.
Tambahnya, pemasangan hoarding yang bermula pada 6 September lalu telah selesai semalam.
Dalam pada itu, DBKL turut mencadangkan, pelan susun atur baharu untuk Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman, termasuk pemindahan penjaja untuk memudahkan pembaikan tanah.
Sesi kedua libat urus dihadiri wakil peniaga dari Wisma Yakin, Pengurusan Masjid India, Batu Road Retailers Association (BARRA), PKNS, Indah Water Konsortium (IWK), dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Dalam pada itu DBKL memaklumkan, wakil pengurusan Masjid India juga memohon ruang tambahan untuk solat Jumaat di luar masjid.
Manakala para peniaga sekitar Jalan Masjid India pula memohon DBKL membuat hebahan berterusan bagi menarik lebih ramai pengunjung. – MalaysiaGazette