Mahkamah Butterworth.

BUTTERWORTH – Seorang pemilik kedai makanan ala Thai didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, atas kesalahan membenarkan sembilan imigran haram berada di premis perniagaan terbabit.

Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, tertuduh, Muhammad Syahmi Faiz Mohamd Sukri, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Hakim, Noor Aini Yusof.

Mengikut pertuduhan, pemilik perniagaan itu didakwa membenarkan sembilan imigran haram iaitu enam lelaki dan tiga wanita warga Thailand berusia antara 23 hingga 57 tahun memasuki dan berada dalam premis yang mana tertuduh mempunyai kawalan ke atas premis tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di Pak Lah Tomyam Cafe di Jalan Kenari, Sungai Ara dalam daerah Barat Daya jam 10.04 malam pada 1 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E (1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap imigran haram yang ditemui di premis.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen negeri, S. Parameswary manakala tertuduh tidak diwakili peguam memohon denda inimum atas alasan perlu menyara keluarga dan bertanggungjawab atas kesalahan yang dilakukan itu.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh membayar denda RM5,000 bagi setiap imigran dengan jumlah keseluruhan RM45,000 atau sembilan bulan penjara sekiranya gagal membayar denda. – MalaysiaGazette