Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bercakap pada sidang media mengenai penipuan skim pelaburan yang melibatkan kerugian sebanyak RM20 juta hadir di Bank Negara Malaysia LINK, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 10 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menyerahkan lebih 50 aduan daripada mangsa sindiket penipuan pelaburan kepada Bank Negara Malaysia (BNM).

Setiausaha Agungnya, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sindiket penipuan itu didakwa diketuai individu yang bergelar ‘Datuk’ menggunakan beberapa rangkaian syarikat.

Beliau berkata, modus operandi yang digunakan oleh skim itu adalah dengan menggunakan ejen pemasaran yang sebahagian besarnya merupakan pegawai bank dan perunding unit amanah.

“Pegawai-pegawai bank yang terlibat dipercayai mempunyai data perbankan dan memberi fokus kepada mereka yang mempunyai  kedudukan jumlah wang yang tinggi. 

“Malangnya mereka menggunakan kedudukan mereka untuk membuat promosi pelaburan-pelaburan yang bukan daripada bank yang mereka kerja,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut beliau, laporan polis telah pun dibuat namun kes diklasifikasikan sebagai RLA (rujuk lain agensi iaitu Bank Negara Malaysia (BNM).

Katanya, difahamkan syarikat-syarikat tersebut telah dikompaun oleh Bank Negara Malaysia melalui kuasa dan kebenaran yang diberikan oleh Pendakwa Raya di bawah Seksyen 253 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 di bawah kesalahan Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang dituduh bersama Seksyen 4 (1) fikta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Hukuman itu tidak setimpal selepas individu terbabit melarikan puluhan juta ringgit duit deposit mangsa,” ujarnya.

Menurutnya, majoriti mangsa skim pelaburan ini adalah warga emas yang menggunakan wang persaraan mereka.

Hasil maklumat daripada para pengadu juga menyatakan ‘Datuk’ tersebut masih lagi memberikan harapan palsu kepada para pelabur, ujarnya.

Sementara itu, seorang mangsa, Rosman Zainuddin berkata, dia hanya memperoleh dividen selama 10 bulan pertama sejak melabur pada November 2021, dan tiada khabar diterima selepas itu.

“Saya percaya akan skim pelaburan ini kerana saya kenal rapat dengan ejen yang mengenalkan skim ini. Saya melabur sekitar RM300,000.

“Perjanjian yang dikatakan patuh syariah hanya satu tarikan kepada kami, mangsa untuk menyertai skim pelaburan itu,” katanya.  – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here