BUKIT MERTAJAM – Aktiviti pendakian seorang wanita berakhir dengan tragedi apabila dia ditemui maut selepas terjatuh dalam lubang saluran air di bukit Cherok Tok Kun di sini, hari ini.
Mangsa, Oh Ai Chin, 50, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam, Penolong Kanan Bomba II, Mohd Azmi Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 12.59 tengah hari sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.
“Sebaik tiba kita dapati seorang wanita yang melakukan aktiviti pendakian di kawasan tersebut telah terjatuh dalam keadaan terlentang dalam lubang saluran air sedalam kira-kira dua meter.
“Susulan itu, dua anggota turun ke dalam lubang tersebut untuk mengangkat wanita itu dan kita mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini. – MalaysiaGazette