Muhammad Faris Arriffin

KUALA LUMPUR- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) akan mempamerkan inovasi dalam sektor baja, pertanian moden dan produk makanan sejuk beku jenama Peladang pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2024).

Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin berkata, NAFAS juga akan memperkenalkan pelbagai produk baja berkualiti dan demonstrasi proses pembuatan baja kepada pengunjung.

Katanya, ia adalah sebahagian daripada aktiviti menarik yang telah dirancang sempena penganjuran MAHA 2024 yang bakal berlangsung dari 11 hingga 22 september 2024 di MAEPS, Serdang.

Selain itu menurut beliau, NAFAS juga akan mengadakan pameran, jualan produk dan inovasi terbaik seperti produk makanan jenama Peladang, baja Peladang serta input pertanian dan jentera.

Justeru, Muhammad Faris menyeru orang ramai untuk singgah ke reruai NAFAS yang terletak di segmen Agro Seed di Dewan A; MAHA Go Global (Hall C); Kingdom of Agrofood (Laman Tiba 1), Laman Padi, Laman Mekanisasi dan NAFAS Cube.

Katanya, NAFAS turut membuka kaunter perkhidmatan Dana Peladang Kebangsaan di segmen Peladang Outlet – Dewan A, MAEPS, Serdang.

Di NAFAS Cube pula, pengunjung boleh menikmati hidangan di kafe yang disediakan, menjadikannya lokasi yang sempurna untuk berehat dan bersantai sepanjang pameran.

Orang ramai juga berpeluang menyertai pertandingan memancing di NAFAS Cube.

“Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung di MAHA 2024, seperti jualan ‘happy hour’ dan uji rasa produk makanan jenama Peladang.

“Pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti santai dan permainan interaktif di segmen-segmen penglibatan NAFAS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah Muhammad Faris, penglibatan NAFAS pada MAHA 2024 membuktikan komitmen mereka dalam memajukan sektor pertanian negara, sejajar dengan objektif keterjaminan makanan yang berterusan.

“Pameran ini turut memberi peluang kepada NAFAS untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memperkenalkan penyelesaian pertanian yang lebih efektif dan lestari.

“Jangan lepaskan peluang anda – jom beramai-ramai kita ke MAHA 2024 dan melihat sendiri pelbagai lagi aktiviti yang pastinya akan memberi pengalaman yang unik dalam penganjuran MAHA pada kali ini. Jumpa anda di sana!” katanya lagi.

Meraikan 100 tahun penganjuran dengan tema Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom, MAHA 2024 dijangka bakal menarik lebih tiga juta pengunjung sepanjang 12 hari ia berlangsung.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu baru-baru ini berkata, beliau berharap pameran itu akan menjadi platform kepada orang ramai khususnya anak muda, untuk meneroka potensi dan inovasi sektor pertanian, sekali gus memacu daya saing dalam membangunkan ekonomi.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai penglibatan NAFAS di MAHA 2024, orang ramai boleh mengikuti platform media sosial rasmi NAFAS di Facebook, Instagram, X, Threads, dan Tiktok @nafashq. -MalaysiaGazette