Noorman Kamsani

JOHOR BAHRU – Cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkenaan pensijilan halal mandatori di kedai-kedai makan bukan Islam disifatkan sebagai langkah proaktif yang mampu memperkukuhkan industri makanan dan minuman di Malaysia.

Presiden Pasukan Pemantau Mesra Muslim (MFW), Noorman Kamsani berkata, langkah itu akan dapat memastikan bahawa semua makanan yang dijual mematuhi sepenuhnya standard halal yang ditetapkan.

“Pensijilan halal bukan sahaja merangkumi aspek penyembelihan haiwan mengikut hukum syariah, tetapi juga memastikan kebersihan, keselamatan, dan kualiti makanan dijaga pada tahap tertinggi.

“Bagi pengguna muslim, mempunyai keyakinan bahawa makanan yang mereka beli adalah halal dan suci adalah keutamaan.

“Dengan pensijilan halal yang diwajibkan, peniaga makanan akan lebih bertanggungjawab untuk mematuhi piawaian yang telah ditetapkan sekali gus mengelakkan sebarang keraguan atau salah faham tentang status halal sesuatu produk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, selain itu, langkah tersebut juga dilihat sebagai satu cara untuk menggalakkan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan standard operasi mereka.

Menurut beliau, dengan adanya pensijilan halal yang diiktiraf, perniagaan berpeluang untuk berkembang bukan sahaja di peringkat tempatan, malah boleh menembusi pasaran antarabangsa.

“Industri halal global semakin berkembang dan Malaysia mempunyai reputasi sebagai peneraju dalam pensijilan halal, maka langkah mewajibkan pensijilan halal ini akan turut memacu ekonomi negara,” katanya.

Secara keseluruhan katanya, MFW percaya bahawa dengan adanya peraturan itu akan memberi manfaat bukan sahaja kepada pengguna muslim tetapi juga kepada seluruh masyarakat.

Jelasnya, ini akan memastikan produk makanan yang berada di pasaran adalah berkualiti, selamat dan memenuhi kehendak semua pihak, sambil terus mengangkat nama Malaysia sebagai negara yang menjadi rujukan dalam standard halal antarabangsa.

Noorman berkata, MFW akan mengadakan kunjungan hormat ke Jakim bertujuan membentangkan dan mencadangkan sistem ‘Muslim Choice’.

Jelasnya, ini sebagai usaha untuk membantu menyelesaikan pelbagai konflik berkaitan produk halal.

Sistem ini diharapkan katanya, dapat menjadi satu inisiatif berkesan dalam menangani cabaran dihadapi peniaga dan pengguna terutama berkaitan dengan kepastian status halal produk di pasaran.

“Melalui pertemuan ini, MFW berhasrat untuk memperkenalkan konsep Muslim Choice, yang mana ia bertujuan untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna muslim dalam memilih produk yang mematuhi standard halal yang lebih ketat.

“Sistem ini juga dijangka dapat menjadi pelengkap kepada pensijilan halal Jakim dengan memberikan maklumat yang lebih terperinci dan telus kepada pengguna tentang latar belakang pengeluar, proses pembuatan, serta bahan-bahan yang digunakan,” katanya.

Noorman yakin Muslim Choice boleh membantu menyelesaikan sebarang keraguan atau konflik yang mungkin timbul berhubung status halal sesuatu produk khususnya di kalangan pengguna yang mempunyai keperluan lebih spesifik dan mendalam terhadap halal.

Inisiatif itu juga diharapkan dapat memberikan sokongan kepada Jakim dalam memastikan industri halal di Malaysia terus berkembang dengan mematuhi standard dan prinsip Islam yang sebenar, katanya. – MalaysiaGazette