SOM2024 bakal berlangsung di Legar Putra, WTCKL pada 26 dan 27 Oktober depan.

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, Scents of Malaysia 2024 (SOM2024) bakal menghimpunkan jenama wangian tempatan terkemuka di bawah satu bumbung dalam usaha merancakkan industri tersebut di negara ini.

Menampilkan semua produk yang menghasilkan bauan harum termasuk penyegar udara rumah, semburan hijab, lilin beraroma dan minyak aromaterapi.

Penganjur yang juga Pengarah LTEO Solution, Eddy Farah Mokhtar menyifatkan SOM2024 sebagai platform terbaik untuk meneroka keseluruhan spektrum bau-bauan ditawarkan di Malaysia dan memberi pengalaman baharu mengasyikkan.

“SOM2024 inisiatif untuk memperkenalkan jenama tempatan kepada dunia dan membuktikan produk Malaysia setanding dengan jenama antarabangsa.

“Kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada usaha ini untuk memperkasakan industri wanigan tempatan,” katanya pada sidang media pelancaran SOM2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini semalam.

Eddy menmabah, dengan sokongan Tourism Malaysia dan WTCKL, pihaknya yakin SOM2024 bukan sahaja akan mempromosikan jenama tempatan tetapi juga menjadi pemangkin pertumbuhan industri perfumeri di Malaysia.

“Pada masa sama, kami juga mahu membantu Tourism Malaysia mempromosikan cogan kata ‘Malaysia Truly Asia’ selain mempromosikan pasaran, jenama dan produk tempatan dan memperkenalkan WTCKL sebagai hab produk tempatan,” katanya.

Sementara itu, SOM2024 bakal berlangsung di Legar Putra, WTCKL pada 26 dan 27 Oktober depan. – MalaysiaGazette