TASHKENT – Sambutan Hari Merdeka Ke-67 dan Hari Malaysia Ke-61 dengan tema “Malaysia Madani, Jiwa Merdeka” telah diadakan di pejabat Kedutaan Malaysia di Uzbekistan.
Majlis yang penuh bermakna ini turut dihadiri Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying serta delegasi usahawan dari Malaysia dan sahabat Malaysia-Uzbekistan.
Rakyat Malaysia yang menetap di Uzbekistan turut menyertai sambutan tersebut.
Duta Malaysia ke Uzberkistan, Tuan Ilham Tuah Illias dalam ucapannya menekankan kepentingan semangat kemerdekaan yang diserapkan dalam gagasan Malaysia Madani, yang mana kebebasan dan kemakmuran perlu diselarikan dengan nilai-nilai kemanusiaan dan kesaksamaan.
Menurut beliau, sambutan ini mencerminkan semangat perpaduan, kemajuan dan kemerdekaannegara dalam konteks Malaysia Madani.
Dalam ucapannya, Tuan Ilham menzahirkan harapan agar hubungan perdagangan dan diplomatik antara Malaysia dan Uzbekistan akan terus berkembang pesat demi manfaat bersama.
Pada majlis itu, beliau turut mempromosikan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025 dan berharap ia akan meningkatkan lagi kerjasama Malaysia di peringkat serantau bersama negara-negara di Asia Tengah.
Pada sambutan yang penuh bermakna itu, para jemputan dihidangkan dengan pelbagai juadah Malaysia, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan majlis tersebut. – MalaysiaGazette