Menteri KKM, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. Foto SYADILA AMARI, 26 OGOS 2024.

SUNGAI BULOH – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yakin tiada pertindihan dalam kalangan badan berkanun di bawah kementerian tersebut.

Sebaliknya beliau berkata, setiap badan berkanun di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai peranan dan tugas masing-masing.

“Badan-badan berkanun dalam KKM tidaklah banyak. Kita hanya ada beberapa agensi sahaja.

“Kita ada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan, Pusat Penyelidikan Perubatan Herba, Protect Health dan lain-lain. Saya pasti tidak ada pertindihan, kami sangat yakin dan kalau ada kita pasti akan ambil program konsolidasi (penggabungan) tapi itu tidak diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media di majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Institut Latihan KKM, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan penubuhan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan adalah bagi menangani isu pertindihan fungsi dan penjimatan dana negara.

Menurutnya, sekretariat itu bertugas serta-merta dalam usaha kerajaan melaksanakan ‘reform’ atau pembaharuan membabitkan perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, Dzulkefly dalam sidang media yang sama memaklumkan seramai 139 individu mengalami gejala ringan termasuk loya dan pening susulan pencemaran bau yang berlaku di beberapa kawasan perumahan sekitar Kampung Maju Jaya di Jalan Seelong-Senai, Taman Perling dan Bandar Baru Uda baru-baru ini.

Tambahnya, KKM bersedia bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam isu tersebut.

Katanya, jabatan berperanan untuk membuat ujian terhadap sampel air sungai, manakala kementerian berkenaan bertanggungjawab dalam aspek rawatan sekiranya ada mangsa memerlukan rawatan.

“ Ini adalah dalam bidang tugas JAS, kita (KKM) ada bidang tertentu masing-masing. Sejurus mangsa datang ke fasiliti kesihatan itu kita akan mula untuk bertindak tapi apa pun kita bersedia bekerjasama dengan JAS sebagai pendekatan bersama dalam kerajaan untuk kita bantu,” jelasnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast