GEORGE TOWN – Seramai 32 calon bertanding bagi merebut 15 Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang bagi penggal 2024-2027 yang akan berlangsung 22 September ini.

Antara calon terkenal yang bersaing untuk jawatan jawatankuasa tersebut ialah adik Lim Guan Eng iaitu Lim Hui Ying, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, ahli exco kerajaan negeri, Jagdeep Singh Deo dan Zairil Khir Johari.

Calon lain termasuk veteran parti Chong Eng, Soon Lip Chee, Teh Lai Heng, dan Yeoh Soon Hin.

DAP Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, konvensyen yang akan berlangsung di Setia SPICE Arena, Bayan Baru di sini akan dirasmikan oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Jelasnya, speaker untuk konvensyen kali ini ialah Syahredzan Johan, Ahli Jawatankuasa CEC merangkap Ahli Parlimen Bangi manakala timbalan speaker pula, Vivian Wong iaitu Ahli Jawatankuasa CEC merangkap Ahli Parlimen Sandakan.

“Seramai 15 daripada 32 calon yang dipertandingkan akan dipilih untuk mengisi Jawatankuasa Negeri DAP Pulau Pinang bagi penggal 2024/2027.

“Urusan pemilihan Jawatankuasa Negeri yang baharu akan dikendalikan oleh Wong Shu Qi, Penolong Pengarah Pendidikan Politik DAP Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Kluang,” katanya hari ini.

Pada 4 September lalu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan beliau tidak akan bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa DAP Pulau Pinang yang akan diadakan pada 22 September ini.

Kon Yeow berkata, beliau telah menerima surat pemberitahuan daripada DAP Pusat berhubung pencalonannya itu pada 27 Ogos lalu namun telah menolaknya. – MalaysiaGazette