KUALA LUMPUR – GISB Holdings Sdn Bhd menafikan tuduhan berhubung isu tular mengaitkan syarikat terbabit berkenaan mengeksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja.
Dalam kenyataan, pihaknya menegaskan sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang khususya melibatkan kanak-kanak.
“Isu tersebut merupakan satu prasangka, fitnah dan berniat jahat untuk mewujudkan persepsi negatif terhadap GISB Holdings Sdn Bhd.
“Pendirian kami amat jelas untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan mendukung aspirasi kerajaan dalam membangunkan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, syarikat terbabit sedia memberikan kerjasama dengan pihak berwajib bagi menyelesaikan isu tersebut.
“Akhir sekali, kami berdoa kepada Allah agar segala fitnah, tohmahan, buruk sangka dan kebencian ini dapat dinoktahkan.
“Mudah-mudahan kita dapat hidup berkasih sayang, bertolak ansur dan saling bantu membantu dalam membina masyarakat Madani seperti yang dicita-citakan oleh pimpinan negara Malaysia yang tercinta ini,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 402 kanak-kanak berusia setahun hingga 17 tahun dipercayai mangsa eksploitasi diselamatkan selepas polis menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan.
Ketua Polis Negara, Razarudin Husain berkata, dalam serbuan pukul 6 hingga 11 pagi tadi seramai 171 individu telah ditahan.
“Kanak-kanak yang kita selamatkan ini kita akan saring pemeriksaan kesihatan, kita akan buat dokumentasi dan akan dilaksanakan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol),” katanya dalam sidang media di IPK Pahang.
Serbuan tersebut dilakukan oleh Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di beberapa rumah amal yang dijalakankan syarikat tersebut. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN: