Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Sebarang perkara berbangkit membabitkan isu Laut China Selatan perlu dikendalikan melalui saluran diplomatik, kata Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.

Bagaimanapun beliau berkata, isu membabitkan kehadiran beberapa kapal tentera China di perairan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia tidak dibincangkan secara khusus pada mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ni.

“Kita tidak membincangkan perkara itu secara khusus tetapi sebarang isu berbangkit akan diurus menggunakan saluran diplomatik,” katanya pada sidang media selepas pasca mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

Terdahulu, Kementerian Luar berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai laporan kehadiran kapal peninjau tentera China dan Pengawal Pantai China yang berlegar di perairan EEZ Malaysia berdekatan Sarawak.

Isu mengenai kehadiran kapal perang tentera laut China itu tercetus selepas ia tular di media sosial sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

Sementara itu, menjawab pertanyaan sama ada Malaysia akan membawa isu Laut China Selatan pada persidangan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, perkara itu tidak dibincangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri.

Beliau menjelaskan, agenda khusus untuk perkara itu dibawa ke UNGA tidak dibincangkan kerana Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan tidak menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Menteri Luar akan mewakili Perdana Menteri dan kerajaan ke UNGA tahun ini bersama satu atau dua orang menteri lagi tetapi, agenda khusus tidak dibincangkan hari ini, malah Menteri Luar tak hadir mesyuarat hari ini.

“Jadi kita perlu tunggu sebelum UNGA, sebelum Menteri Luar berangkat ke UNGA,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast