Temu bual bersama Presiden Makkal Sakti, Datuk RS Thanenthiran berkaitan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Makkal Sakti serta isu-isu lain di Hotel Seri Pacific KL. Foto AIZAT ZAINAL, 10 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri RS Thanenthiran meluahkan kebimbangan berhubung komuniti India di negara ini yang didakwanya berada di persimpangan paling kritikal.

Katanya, komuniti India di Malaysia merupakan antara satu diaspora India tertua di dunia yang telah memberi sumbangan besar dalam membangunkan negara ini bersama-sama kaum lain seperti Melayu, Cina dan lain-lain.

“Darah dan keringat nenek moyang kita terpahat dalam pembangunan infrastruktur negara seperti jaringan jalan raya, rel kereta api dan ladang getah serta kelapa sawit. Kita telah menyumbang secara signifikan dalam usaha pembinaan negara ini.

“Ketika ini kita sudah bersiap sedia menuju ulang tahun ke-100 pada tahun 2057, penting bagi komuniti India Malaysia merenung kembali dan menilai di mana mereka berada dalam konteks pembangunan negara.

“Sumbangan komuniti India kepada negara yang kita cintai ini mesti diteruskan dan berkembang demi menghormati legasi nenek moyang kita, apa sahaja jasa terdahulu tidak seharusnya dilupakan atau diperkecilkan,” katanya kepada MalaysiaGazette sempena pengumuman Perhimpunan Agung Tahunan Makkal Sakti ke-16 hujung bulan ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam bergambar kenangan bersama penerima-penerima Skim Pelaburan Khas Masyarakat India B40 pada pelancaran skim tersebut di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 APRIL 2018

Kata Thanenthiran, banyak jasa pemimpin India Malaysia terdahulu yang berjuang untuk meningkatkan taraf hidup komuniti dan beliau menghargai usaha mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memastikan hak-hak kaum India sebagai sebahagian daripada rakyat negara ini.

“Najib atau lebih dikenali sebagai Bossku telah melihat negara ini sebagai 1 Malaysia yang mengambil kekuatan dari kepelbagaian masyarakatnya. Beliau sentiasa celik dalam melihat keperluan untuk mengangkat komuniti India dan mencipta blueprint yang ditugaskan kepada SEDIC (Unit Khas bagi Program Pembangunan Sosioekonomi) untuk melaksanakannya.

“Perdana Menteri inilah yang prihatin apabila memastikan komuniti India menerima dana sebanyak RM100 juta sejak tahun 2017 bukan yang sebelum ini,” ujarnya.

Namun kata Thanenthiran, walaupun selepas tujuh tahun pelancaran blueprint dan peruntukan RM100 juta namun hingga kini jumlah itu tidak pernah meningkat walaupun kos inflasi dan pelaksanaan projek semakin membebankan.

“Hari ini, pembangunan komuniti India Malaysia seolah-olah hanya berputar sekitar dana RM100 juta ini, nilai kita ini hanya RM100 juta untuk kira-kira lebih dua juta populasi,” katanya kecewa.

Kini komuniti India berada di titik penting dengan kira-kira enam hingga tujuh peratus daripada populasi keseluruhan negara ini.

“Kini kita seolah-olah sudah tidak ada suara besar dalam banyak platform tapi ketika berlakunya pilihan raya kita jadi penentu atau king maker, suara dan jumlah kita jadi penentu bermakna.

“Saya menyeru supaya semua pemimpin komuniti India termasuk parti-parti politik India ketepikan perbezaan, sama ada daripada segi ideologi politik, perbezaan komuniti atau puak berdasarkan kasta.

“Marilah kita bersatu, memperkukuhkan blueprint kerja sebagai satu komuniti dengan satu suara. Bersama-sama dengan rakan-rakan kita dari pelbagai kaum lain, kita boleh menggerakkan negara ini ke arah kecemerlangan lebih besar dengan kekuataan ‘Shakti’ dua juta populasi ini,” tegasnya. 

Selain itu, Thanenthiran juga kecewa kerana sebekum ini setiap usaha dan pencapaian Najib  sering menjadi bahan kritikan pembangkang ketika itu malah rakyat terus dihasut membenci kerajaan.

“Mana saya hendak mula? Terlampau banyak janji yang satu pun tidak dikotakan hari ini. Kos sara hidup semakin hari semakin naik tapi tidak ada apa-apa dilakukan. Ramai terutamanya golongan muda hilang pekerjaan, punca pendapatan tetapi tiada penyelesaian.

“Bagaimana pula dengan janji dahsyat seperti jika menang hari ini, esok boleh buat seperti minyak? Jika boleh menang, kita selesai isu dalam 100 hari. Jika kita menang, kita hapuskan ini, hapuskan itu.

“Harga barang tidak turun, harga minyak tidak turun, harga tol bukan sahaja tidak mansuh tapi sudah naik, PTPTN juga tidak dimansuhkan dulu hasut semua pelajar. AES juga dijanji akan dihapuskan hari ini sudah bertambah.

“Bukan kita soal atau marah mengapa kerajaan buat tapi mengapa menipu untuk berkuasa?” soalnya.

Menurut Thanenthiran, Najib pernah menjadi mangsa kritikan pembangkang yang hari ini sudah menjadi kerajaan kerana membuat pinjaman, hutang dan dianggap sebagai cubaan bankrapkan negara.

“Jika tidak silap saya ketika itu, hutang negara mencecah hampir 680 juta, macam-macam pembangkang ketika itu hasut dan kritik. Hari ini, hutang negara sudah cecah RM1.7 trilion, adakah ini juga dianggap akan bankrapkan negara?

“Sudah-sudahlah. Hutang sudah begitu tinggi, kehidupan rakyat terus terbeban,” katanya. – MalaysiaGazette