Melanie Joly.. foto The Globe and Mail

TRENTON – Kanada telah menggantung 30 permit untuk penjualan senjata kepada Israel dan membatalkan kontrak dengan sebuah syarikat Amerika Syarikat (AS) untuk menjual peluru buatan Quebec kepada tentera Israel, kata Menteri Luar Negeri Melanie Joly.

Joly menegaskan, kerajaan tidak akan membenarkan peluru buatan Kanada – dalam kes ini dikeluarkan oleh cabang Kanada General Dynamics yang berpangkalan di AS untuk dijual atau dihantar ke negara lain untuk dijual semula ke Israel.

Pengumuman itu merupakan berita yang dialu-alukan kepada National Council of Canadian Muslims (NCCM), pertubuhan advokasi Muslim terbesar di Kanada.

“Menteri Joly mengeluarkan mesej yang jelas dengan menyatakan dasar Kanada mengenai larangan senjata ke Israel kekal,” NCCM menyiarkan pada X.

Penjualan senjata Kanada dari negara perantara untuk dijual di Israel telah menjadi pertikaian.

Joly berkata, transaksi perniagaan jenis ini seperti yang dilakukan oleh General Dynamics adalah dilarang secara nyata.

“Bagi soalan mengenai General Dynamics, dasar kami adalah jelas. Kami tidak akan mempunyai sebarang bentuk senjata, atau bahagian senjata, dihantar ke Gaza.

“Cara senjata dihantar dan ke mana ia dihantar adalah tidak relevan. Oleh itu, kedudukan saya adalah jelas, kedudukan kerajaan adalah jelas, dan kami berhubung dengan General Dynamics,” ujarnya.

Pusat Hal Ehwal Israel dan Yahudi berkata, kenyataan Joly adalah “perubahan yang mengganggu” dalam dasar Kerajaan Kanada, lapor akhbar Globe and Mail. – Agensi