Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, bercakap pada sidang media berkenaan Kejayaan Menumpaskan Sindiket Pengedaran Dadah Ketamin dan Ekstati di Lembah Klang dengan Nilai Rampasan RM 1.6 Juta di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 05 SEPTEMBER 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima laporan berhubung penahanan seorang lelaki tempatan di Jalan Bukit Kiara, di sini susulan penemuaan dua pucuk pistol dan dadah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa yang mengesahkan perkara itu dalam kenyataan hari ini berkata, hasil pemeriksaan, polis telah menjumpai dua pucuk pistol tiruan dan seketul mampat dadah jenis ganja di dalam kenderaan suspek.

“Suspek kini direman bermula 7 September hingga esok bagi siasatan di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai agar menyalurkan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang menerusi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahm, Muhammed Yusoff Rawther ditahan selepas polis menemui dua pucuk pistol dan dadah di dalam kenderaannya.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mengesahkan penahanan itu ketika dihubungi memaklumkan, pistol serta dadah tersebut bukan milik Muhammed Yusof.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan perbicaraan penuh berhubung saman Muhammed Yusof terhadap Anwar berhubung dakwaan serangan seksual terhadapnya akan bermula pada 16 Jun tahun depan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Muhammed Yusof mendakwa serangan seksual itu berlaku pada 2 Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut.

Ia berlaku apabila beliau diminta oleh Setiausaha Sulit Anwar iaitu Shukri Saad untuk menyerahkan sendiri teks ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-150 Mahatma Gandhi kepada defendan.

Sementara itu, Anwar menfailkan tuntutan balas pada September 2021 dengan menyatakan dakwaan salah laku seksual itu ‘palsu dan direka’.

Dalam pernyataan tersebut, Anwar mendakwa, serangan seksual yang didakwa tidak mungkin berlaku kerana pada tarikh itu, beliau melayani keluarga dan rakan di kediamannya di Bukit Segambut. – MalaysiaGazette

Polis jumpa pistol dan ganja, Yusoff Rawther ditahan sejak Jumaat

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here