‘Abang Bas’ (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Batu Pahat, hari ini, atas pertuduhan menggunakan aplikasi TikTok menghantar komen jelik dalam videonya, bulan ini

BATU PAHAT – ‘Abang Bas’ sekali lagi didakwa dan kali ini pula di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menggunakan aplikasi TikTok menghantar komen jelik dalam videonya, bulan ini.

Tertuduh yang berusia 24 tahun, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan TikTok dengan nama akaun ‘Abang Bas’ yang secara sedar membuat dan menghantar komen bersifat jelik terhadap video seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dengan kapsyen ‘hari ini crush buat homework’ diikut tanda ‘love’ sambil memerhatikannya.

Perbuatan tersebut dilakukan di Jalan Aman 2, Taman Budiman, Parit Raj, di sini pukul 11 malam pada 5 September lalu.

Untuk itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama dengan denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan seterusnya, denda RM1,000 bagi setiap kesalahan selepas yang disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Izzati Rozman manakala tertuduh diwakili peguam, Umar Zulkarnain.

Nur Izzati berkata, pihak pendakwaan memohon agar kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Muar memandangkan tertuduh mempunyai dua kes yang sudah dituduh di daerah itu selari dengan Seksyen 165 Kanun Prosedur Jenayah.

“Pihak pendakwaan juga tidak menawarkan ikat jamin namun jika mahkamah membenarkannya, sebanyak RM25,000 ditawarkan kepada tertuduh berserta syarat tambahan,” hujahnya.

Selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan  menetapkan 10 Oktober ini untuk sebutan semula bersama-sama kes dihadapinya di Mahkamah Sesyen Muar.

Mahkamah juga mengenakan syarat iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan dan tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa sehingga kes selesai.

Terdahulu, tertuduh tiba ke pekarangan Kompleks Mahkamah Muar pada pukul 9.30 pagi dengan kereta polis dan bapa serta ahli keluarganya turut hadir semasa prosiding pertuduhan tersebut.

Sejurus melihat ‘Abang Bas’ dalam kereta, mereka kemudian berpelukan sambil menangis teresak-esak dan memohon supaya anaknya bersabar.

“Sabar Din, kami ada,” demikian kata seorang ahli keluarga kepada ‘Abang Bas’ sebelum tertuduh dibawa masuk untuk mehkamah memulakan prosiding pertuduhan tersebut.

Sebelum meninggalkan mahkamah, ‘Abang Bas’ turut dilihat menghadiahkan ‘mini love’ kepada ahli keluarganya.

Pada Selasa lalu, Abang Bas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017 dan Seksyen 15 (a) (iii) akta sama.

Pertuduhan itu membabitkan amang seksual fizikal serta memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual.

Bagaimanapun, dia juga mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan ini dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 namun gagal membayarnya.

Sebelum ini, tular di TikTok seorang lelaki yang juga pemilik akaun ‘Abang Bas’ dengan lebih 640,000 pengikut di platform berkenaan sering memuat naik video jelas memaparkan wajah murid yang menjadi penumpangnya.

Susulan video itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-kanak (JPKK) membuat laporan polis.

Susulan itu, tertuduh yang masih bujang ditahan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Kluang, kira-kira jam 2.57 pagi Jumaat lalu.- MalaysiaGazette

 

‘Abang Bas’ menangis di kandang tertuduh, tidak mengaku lakukan amang seksual

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here