Pengurus Bahagian Pemasaran dan Promosi NAFAS, Syahrul Musa bergambar bersama produk-produk yang dijual pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS, Serdang. Foto SADIQ SANI, 12 SEPTEMBER 2024

SERDANG – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) memperkenalkan empat produk perapan baharu bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 yang ke-100.

Empat produk ini di bawah jenama Peladang.

Menurut Pengurus Bahagian Pemasaran dan Promosi NAFAS, Syahrul Musa, produk yang diperkenalkan ialah kambing perap, ayam perap, daging harimau menangis dan daging perap batang pinang.

Antara produk yang dijual pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di MAEPS, Serdang. Foto SADIQ SANI, 12 SEPTEMBER 2024

Produk baharu itu buat kali pertama diperkenalkan kepada masyarakat sebelum dijual di pasaran dijangka Oktober ini di 26 lokasi stesen Petronas.

Penggemar boleh mendapatkan produk perapan baharu daripada NAFAS di 26 stesen Petronas terpilih bermula Oktober.

“Keempat-empat produk perapan itu sangat diyakini dari segi halalan toyyiban yang penting ia bukan sekadar halal tetapi kebersihan dan kualiti yang amat kami titikberatkan. Ini selari dengan imej Malaysia sebagai hab halal dunia,” katanya ketika ditemui di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini, hari ini.

Syahrul berkata, produk itu dijual pada harga berpatutan iaitu RM38 per pek atau RM100 untuk tiga pek manakala pengunjung MAHA dapat menikmati harga RM35 pada jualan happy hour yang akan diadakan pada hari minggu.

MAHA 2024 berlangsung selama 12 hari bermula 11 hingga 22 Sept di MAEPS

“Produk perapan ini akan dijual pada harga mampu milik supaya dapat dibeli oleh masyarakat,” ujarnya.

Selain produk perapan, NAFAS turut menawarkan barangan basah seperti ayam bulat yang dijual pada harga yang sangat berpatutan.

“Setiap ayam bulat yang mempunyai berat beranggaran 1.2-kilogram dan ayam potong seberat 700-gram dijual pada harga RM8 tetapi dalam happy hour, akan dijual serendah RM6.

“Kami menyasarkan untuk menjual sebanyak 2,000 pek untuk bahan perapan manakala jualan untuk ayam bulat dan potong mencapai 5,000 pek sepanjang MAHA berlangsung memandangkan jumlah pengunjung yang tinggi dan tidak putus-putus,” ujarnya.

Syahrul yakin produk Peladang dapat menjadi tarikan pengunjung MAHA kerana ia menawarkan produk yang memenuhi keperluan masyarakat pada harga yang amat berpatutan.

Tambahnya, NAFAS juga berusaha meluaskan pasaran eksport produk di bawah jenama Peladang seperti makanan ringan dari Sabah dan Sarawak iaitu amplang dan tebaloi yang kini berjaya menembusi pasaran Jepun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast