ALOR GAJAH – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggangi dihempap pokok ketika hujan lebat di Jalan Perindustrian Kelemak, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu, mangsa pekerja kilang, Ikhmal Hakimi Hasrul Rizuan, 18 yang menunggang motosikal jenis Benelli disahkan meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Alor Gajah ke rumahnya di Taman Lendu Bakti Masjid Tanah.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, dipercayai sebuah pokok telah menghempap mangsa dan motosikalnya sehingga jatuh di atas permukaan jalan.
“Akibatnya mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, mayat diserahkan kepada Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Fadil Saidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.37 pagi.
Menurutnya, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah dikejarkan ke lokasi mendapati sebatang pokok tumbang menghempap mangsa dan motosikalnya.
Tambahnya, operasi tamat pada pukul 7.50 pagi selepas mendapati tiada risiko kemerbahayaan lain kepada pengguna jalan raya. – MalaysiaGazette