Datuk Seri Yahaya Othman

KUALA LUMPUR – Tujuh individu ditahan awal pagi ini bagi membantu siasatan kematian seorang pekerja kilang di Bentong, Pahang, malam semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Yahaya Othman berkata, enam warga asing dan seorang warga tempatan yang berusia antara 27 hingga 39 tahun itu ditahan di Jalan Chegar Medang, Bentong ketika cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

Jelasnya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong menerima panggilan telefon mengenai seorang lelaki ditemui mati di sebuah kilang di Bentong pada jam 11 malam semalam.

“Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong sampai di lokasi dan telah menjalankan siasatan awal di aras dua asrama pekerja kilang tersebut dan mendapati mangsa merupakan seorang lelaki warga negara asing berusia 38 tahun dalam keadaan terbaring dengan kesan cedera di tubuh badan mangsa dipercayai ditikam dengan menggunakan objek yang tajam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut Yahaya, bertindak atas maklumat tersebut polis telah menahan tujuh individu tersebut dan kini kesemua mereka direman selama tujuh hari sehingga 13 September ini.

Tambah beliau, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk bedah siasat.

Yahaya berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta menyalurkannya dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Bentong di talian 09-2222222 atau tampil di balai polis berhampiran – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here