Remaja perempuan berusia 16 tahun antara tiga didakwa atas pertuduhan menjalankan aktiviti mengumpul dan mendaftarkan akaun bank untuk keldai akaun di Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

BALIK PULAU – Seorang remaja perempuan bawah umur antara tiga individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menjalankan aktiviti mengumpul dan mendaftarkan akaun bank untuk keldai akaun menggunakan telefon bimbit pada minggu lalu.

Tertuduh Ling Kie Teck, Kelvin Hung Tuan Wan masing-masing berusia 19 tahun dan remaja perempuan 16 tahun itu membuat pengakuan selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret, Chia Huey Ting.

Mengikut kertas pertuduhan ketiga-tiga tertuduh didakwa telah bersetuju antara satu sama lain untuk melakukan suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang iaitu menjalankan aktiviti mengumpul dan mendaftarkan akaun bank kepada keldai akaun menggunakan tujuh buah telefon bimbit pelbagai jenis.

Ling Kie Teck (depan), Kelvin Hung Tuan Wan dibenarkan ikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin tempatan.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kafe di Lorong Bukit Kecil, Taman Sri Nibong, Bayan Lepas di sini pukul 7.30 malam pada 12 September lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani mencadangkan jaminan sebanyak RM9,000 beserta seorang penjamin terhadap setiap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam, S.Sagthiyaraj yang mewakili kesemua tertuduh meminta jaminan rendah atas alasan mereka pesalah muda selain masing-masing mereka datang dari Sarawak dan Johor.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM3,000 beserta seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan kesemua mereka perlu lapor diri di balai polis berhampiran kediaman masing-masing.

Kes akan disebut semula pada 19 November depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast