Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berucap pada Majlis Muktamar Dewan Pemuda PAS ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di Temerloh, Pahang. Foto AIZAT ZAINAL, 12 SEPTEMBER 2024

KUALA LUMPUR – Dakwaan Presiden Pas bahawa parti-parti Melayu dalam Kerajaan Perpaduan tidak berwibawa menangani DAP berkaitan isu pensijilan halal hanya retorik sahaja.

Hakikatnya, Pas gagal menangani banyak isu semasa parti tersebut menjadi sebahagian kerajaan, kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

Dakwanya, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyuarakan isu itu di pentas Muktamar semata-mata mahu menarik sokongan terutama dari kalangan pengundi konservatif.

“Dakwaan Hadi Awang bahawa parti Melayu dalam kerajaan lemah dan tidak mampu menangani rakan bukan Islam lebih kepada retorik untuk menunjukkan kemampuan Pas jika diberi peluang memerintah negara.

“Namun ketika Pas memerintah negara bersama PN (Perikatan Nasional) ternyata banyak isu tidak dapat ditangani Pas,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sedangkan, UMNO masih memainkan peranan dan pengaruhnya UMNO bagi memastikan kaum Melayu tidak terpinggir.

Bahkan, banyak isu yang terkait dengan Melayu dan Islam berjaya ditangani secara baik oleh UMNO.

“Pendekatan UMNO lebih moderate (sederhana) sejak UMNO memerintah negara puluhan tahun dahulu. Segala isu berkaitan Melayu dan Islam ditangani secara rasional dan bijaksana, bukannya secara retorik dan sentimen, atau tidak bersifat window dressing ketika perhimpunan parti,” katanya lagi.

Jelas Azman Awang, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih stabil dengan pendekatan yang inklusif, menekankan keharmonian kaum dan agama.

Kerajaan hari ini juga terbukti mempunyai daya tahan yang utuh termasuk menangani isu Melayu dan Islam.

“Setakat ini, kerajaan berjaya menangani isu ekonomi dan perpaduan termasuk melibatkan etnik dan agama yang pelbagai. Kerajaan Perpaduan mempunyai saluran dan kaedah termasuk secara berdialog dan perbincangan terbuka.

“Malah, parti Melayu dalam kerajaan terus memegang kuasa yang signifikan, terutamanya dalam memastikan dasar berkaitan Melayu dan Islam dipertahankan melalui kerjasama dengan parti-parti lain,” katanya.

Semalam, ketika berucap pada Muktamar Dewan Pemuda Pas di Kompleks Al-Makmur, Kerdau hari ini, Abdul Hadi berkata, biarpun kebanyakan parti dalam kerajaan adalah berpandukan kepada Melayu dan Islam, ia masih gagal untuk mempertahankan perkara yang melibatkan kesucian agama Islam daripada dicampuri oleh masyarakat bukan Islam.

Beliau turut menyeru parti-parti yang menyertai Kerajaan Perpaduan supaya tidak terus bersekongkol dengan kepincangan dalam pemimpin bukan Islam dengan mempersoalkan isu berkaitan agama rasmi negara.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here