Ketua Srikandi Muda Bersatu, Nurul Fadzilah Kamaluddin

KUALA LUMPUR – Sudah tiba masa kerajaan memperketatkan undang-undang dan membuat serbuan terhadap rumah amal, sekolah tahfiz dan madrasah yang menggunakan kanak-kanak sebagai ‘pelindung’.

Ketua Srikandi Muda Bersatu, Nurul Fadzilah Kamaluddin berkata, kerajaan perlu memandang serius perkara itu kerana ia melibatkan eksploitasi kanak-kanak sekaligus memberi tekanan kepada mental dan fizikal kanak-kanak yang terlibat.

“Srikandi Muda menuntut kerajaan tidak boleh lepas tangan memandangkan perkara ini pasti akan terjadi lagi jika tiada pantauan dan sekatan yang dibuat dengan kadar segera.

“Perkara ini juga tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana akan merosakkan anak bangsa,” katanya dalam kenyataan.

Nurul Fadzilah mengulas mengenai tindakan polis menyelamatkan 402 orang kanak-kanak dan remaja berusia antara satu dan 17 tahun dengan 201 daripadanya kanak-kanak lelaki dan 201 kanak-kanak perempuan di dalam satu serbuan Op Global melibatkan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) baru-baru ini.

Siasatan polis mengesyaki kanak-kanak atau mangsa diajar cara meliwat dan seterusnya menjadi mangsa diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat kanak-kanak yang lain.

Nurul Fadzillah berkata, sokongan padu perlu diberikan kepada pihak berkuasa agar siasatan yang dijalankan tidak dicampuri mana-mana pihak yang berkepentingan.

“Siasatan telus harus dijalankan dengan segera dan rakyat perlu diberi pengetahuan berkenaan segala salah laku dan ketirisan pihak berwajib sehingga keadaan seperti ini menjadi parah agar masyarakat tidak gusar dengan pelbagai spekulasi bersifat bukan fakta datang daripada andaian semata,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here