Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat.

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki dipercayai menganggu kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di kawasan masjid di Jalan SS15, Subang Jaya, Selangor pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, suspek berusia 30 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya pada jam 4.40 petang tadi.

“Susulan itu, suspek warga tempatan akan direman bagi siasatan dan sebaik kertas siasatan dilengkapkan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan pendakwaan ke atas suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2021 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Suasana masjid di SS15, Subang Jaya.

Terdahulu, tular video di Facebook memaparkan gambar dan kenyataan yang mendakwa mangsa cuba diculik namun siasatan awal mendapati dakwaan itu tidak benar.

Wan Azlan berkata, sebaliknya siasatan mendapati mungkin kanak-kanak itu mangsa amang seksual selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian.

“Lelaki itu menanyakan nama dan alamat rumah mangsa sehingga menyebabkan mangsa melarikan diri ke kawasan sekolah berdekatan.

“Mangsa telah memberitahu kejadian tersebut kepada pengadu iaitu seorang perempuan tempatan dan semalam, pengadu telah terima satu video dan gambar daripada ibu kenalan mangsa yang menunjukkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup) kejadian,” ujarnya.

Tegas beliau, pihak polis terus komited memerangi jenayah dan menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada memuat naik sebarang kenyataan di media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran awam dan sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here