Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bersedia berdepan dengan tindakan saman daripada Rafizi Ramli susulan dakwaan Menteri Ekonomi itu menyeleweng duit kementerian.

Menerusi hantaran di Facebook, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, teruja menantikan surat tuntutan (LOD) daripada pemimpin PKR berkenaan untuk membuat pendedahan terbuka kepada rakyat.

“Saya tunggu dengan penuh rasa teruja surat saman (LOD) dari peguam kamu Rafizi. Kamu nak heret ke mahkamah? Silakan! Mudah kami telanjangkan macam-macam tatakelola reformasi palsu kamu di sana. I say: Bring. It. ON!,” katanya.

Sebelum ini, Wan Ahmad Fayhsal menerusi aplikasi X mengulang siar satu hantaran dengan kenyataan yang mendakwa Rafizi menyeleweng duit kementerian bagi tujuan membayar ‘cybertrooper’.

Hantaran yang diulang siar itu memaparkan gambar ‘Pelan Kempen Fasa 1’ dengan huraian seorang pempengaruh media sosial ditugaskan untuk menangkis imej negatif menerusi perkongsian pencapaian ekonomi bumiputera melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

Semalam, Rafizi menerusi aplikasi sama berkata, beliau bakal memfailkan saman terhadap Wan Ahmad Fayhsal.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, beliau telah memohon pihak peguamnya memulakan proses saman Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana membuat fitnah secara terbuka. – MalaysiaGazette