Syed Hussien menyantuni masyarakat setempat semasa berkempen di Gerai MPK, Taman Makmur, Kluang, hari ini

KLUANG – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota mahu meneruskan usaha menyelesaikan masalah banjir di beberapa kawasan di daerah itu.

Menurut Syed Hussien Syed Abdullah, masalah itu sudah diketahui sejak sebelum beliau menjadi calon PRK DUN Mahkota lagi dan memberi jaminan cuba menyelesaikannya nanti.

“Walaupun banyak bantuan diberikan menerusi kerajaan negeri dan Pusat yang telah mengurangkan masalah banjir, isu ini masih perlu diberi perhatian dari semasa ke semasa.

“Isu melibatkan banjir ini perkara penting untuk setiap kawasan. Umum maklum di Kluang sebelum ini banyak kawasan banjir.

“Tapi banyak bantuan kerajaan negeri dan Pusat telah selesaikan masalah bagi mengurangkan masalah banjir ini.

“Tidak dinafikan jika hujan lebih berterusan, akan terkesan. Jadi jika perlu angkat isu, kita akan angkat untuk selesaikan masalah tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa berkempen di Gerai Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Taman Makmur, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan polis turut bersiap-siaga bagi menghadapi kemungkinan banjir semasa berlangsungnya kempen PRK Mahkota yang bermula 14 hingga hari pengundian 28 September ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, seramai 38 pegawai dan anggota telah bersedia untuk mengatur gerak jika berlakunya banjir ketika waktu kempen mahupun pada hari pengundian.

Kata Kumar, bot dan lori juga sudah ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang sebagai langkah awal sekiranya berlaku banjir.

Mengulas lanjut, Syed Hussein berkata, pihaknya akan meneruskan projek benteng sungai yang diperjuangkan wakil rakyat terdahulu, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain antaranya di Taman Ilham.

Syed Hussien berkata, perkara berkenaan akan dirujuk kepada agensi terlibat.

“Insya-Allah kerana perkara ini kita perlu bertanya kepada pihak agensi yang mempunyai kepakaran JKR (Jabatan Kerja Raya), JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) bagi mendapat pandangan mereka terutamanya Majlis Perbandaran Kluang (MPK) itu sendiri,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here