Razarudin Husain.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan seorang rakyat Malaysia ditahan bersama dadah jenis methamphetamine bernilai HKD210 juta (RM116.1 juta) oleh polis Hong Kong, 12 September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ketika dihubungi MalaysiaGazette petang tadi berkata, suspek merupakan seorang lelaki berusia 26 tahun dan beralamat di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

“Saya boleh sahkan tentang tangkapan seorang rakyat Malaysia bersama dadah oleh polis di Hong Kong.

“Semakan kami mendapati dia memiliki satu rekod lampau memiliki dadah dan satu rekod memasukkan dadah ke dalam badan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya.

“Saya telah pun meminta Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman (Datuk Seri Khaw Kok Chin) untuk mendapatkan risikan pembabitan rakan sejenayah di negara ini,” katanya.

Sebelum ini, agensi media asing South China Morning Post melaporkan berita tentang polis Hong Kong membuat rampasan terbesar dadah jenis kristal Methaphetamine bernilai HKS210 juta (kira-kira 116.1juta), Khamis lalu.

Pemangku Superintendan Cheung Hok-Fung daripada Biro Narkotik Hong Kong mendedahkan, pasukannya menemukan dadah seberat 335 kilogram dan kokain seberat 55 kilogram yang disembunyikan di dalam perabot.

Kesemua rampasan dadah itu menurut polis Hong Kong dijumpai dalam sebuah kontena penghantaran yang tiba dari Amerika Syarikat, 10 September lalu.

Warga Malaysia yang disyaki sebagai pengedar dadah itu dilaporkan memasuki Hong Kong sebagai pelancong sejak tahun lepas. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here