Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat tiba ke Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan bagi Tahun 1446 Hijrah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Turut kelihatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. Foto AIZAT ZAINAL, 16 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Baginda berdua yang tiba pada jam 9.30 pagi disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Jemaah Menteri serta kakitangan awam.

Sambutan Maulidur Rasul merupakan salah satu acara rasmi kerajaan yang disambut setiap tahun sama ada di peringkat Persekutuan dan negeri, sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Sambutan yang bertemakan ‘Al-Falah Pemacu Malaysia Madani’ adalah manifestasi dari intipati ajaran Rasulullah SAW dan merupakan satu tema yang sangat signifikan kepada umat Islam termasuk masyarakat bukan Islam di negara ini.

Seramai 6,000 orang terdiri daripada 131 kontinjen melibatkan pelbagai kementerian, badan berkanun dan agensi swasta hadir dalam sambutan itu.

Turut mengambil tempat, upacara penyampaian Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul kepada individu-individu yang layak.

Dalam pada itu, majlis itu akan menobatkan seorang penerima Anugerah Perdana dan enam penerima Anugerah Maulidur Rasul.

Ia diberikan sebagai pengiktirafan kepada individu-individu yang layak dan telah memberi sumbangan cukup bermakna dalam pembangunan ummah dan negara.

Penerima anugerah dipilih berdasarkan jasa dalam bidang kepakaran masing-masing yang membawa impak besar kepada pembangunan agama, bangsa dan negara sekaligus menyumbang kepada kesejahteraan dan kemakmuran. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here