Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar bercakap pada media berkenaan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan bagi Tahun 1446 Hijrah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 16 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Draf kajian dan laporan berhubung isu pensijilan halal yang telah siap akan dibentangkan kepada mesyuarat Kabinet pada Rabu ini, sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengambil tindakan lanjut berhubung pensijilan halal sekiranya Kabinet bersetuju dengan draf tersebut.

“Insya-Allah sudah hampir siap, jadi saya akan bentangkan pada Rabu ini. Maknanya, arahan itu telah diikuti dan kita telah sediakan draf yang mana ia akan meliputi berkaitan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal.

“Ia akan melalui proses yang panjang sebab saya sebut dalam konteks pensijilan halal kita sekarang ini secara sukarela. Jadi, kita mahu tengok kemungkinan kalau boleh pensijilan halal diwajibkan sebab ada kegusaran dan kebimbangan dalam kalangan umat Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Pada 11 September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan kajian dilakukan selain laporan lengkap berhubung isu pensijilan halal disediakan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata Perdana Menteri mahu hasil kajian dan laporan lengkap berhubung cadangan mewajibkan pensijilan halal untuk setiap premis makanan itu dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here