Tujuh pengantin diijab kabulkan dalam majlis perkahwinan beramai-ramai di Dewan Sharifah Azizah, Taman Ilham, Kluang, hari ini.

KLUANG – Hari Malaysia menjadi detik bersejarah bagi tujuh pasangan pengantin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota apabila diraikan dalam majlis persandingan beramai-ramai hari ini.

Difahamkan pasangan muda yang menyertai majlis tersebut hanya membayar mas kahwin sahaja dan menyewa baju pengantin, manakala jamuan dan pelamin disediakan Yayasan Prihatin Kluang.

Pasangan pengantin, Mohamad Amirul Md Din, 25 dan Nor Asnani Ishak, 26, bersyukur majlis persandingan beramai-ramai berjalan lancar.

Mohamad Amirul yang bekerja sebagai penghantar barang berkata, majlis pernikahan telah diadakan di Masjid Dato Ahmad Kampung Abdul Rahman Yassin pada, Jumaat lalu.

“Saya dan isteri memang gembira sebab dapat jimat perbelanjaan kahwin, kerana seperti mana yang kita tahu zaman sekarang harga semua naik.

“Saya seronok dapat kahwin serentak dengan pasangan yang lain, lebih bermakna lagi tarikhnya cukup istimewa pada 16 September” katanya ketika di Dewan Sharifah Azizah di Taman Ilham di sini hari ini.

Pengurus Eksekutif Yayasan Prihatin Kluang, Zainani Jamaluddin berkata, program kahwin beramai-ramai yang julung diadakan di DUN Mahkota diasaskan Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.

“Kami amat gembira dan bersyukur dapat melaksanakan majlis ini yang berjalan lancar dengan kehadiran keluarga pengantin dan penduduk setempat.

“Ia juga dapat membantu golongan anak muda yang kurang berkemampuan mendirikan rumah tangga,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here