Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

KOTA KINABALU- Kerajaan Persekutuan bertekad untuk mengangkat martabat semua negeri terutama di kawasan pedalaman, terpencil dan miskin bandar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menzahirkan kepercayaan dan keyakinan bahawa komitmen itu mampu dicapai dengan adanya permuafakatan, perbincangan serta amalan kerja berpasukan antara pemimpin Persekutuan dengan negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri berkata tiada negeri yang tidak mempunyai sebarang masalah namun segala keluhan rakyat perlu didengar bagi memastikan apa sahaja keperluan penduduk berjaya dipenuhi.

“Kalau mahu Malaysia ini berjaya siapa sahaja jadi Perdana Menteri, siapa sahaja jadi Menteri, siapa sahaja jadi pemimpin, mesti memimpin seluruh rakyat dan bangsa Malaysia,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan di Padang Merdeka di sini malam ini.

Sambutan itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.

Hadir sama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024 selain ketua-ketua jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri.

Anwar turut memberi jaminan akan bertungkus lumus menjayakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersama rakan pimpinan dan Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).

“Walaupun saya akui ada masalah yang harus kita selesaikan tetapi saya bernasib baik kerana sebaik menjawat Perdana Menteri, dua sahabat saya menaruh keyakinan penuh (iaitu) Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak bermuafakat, bicara dengan terang, tegur dengan baik sebagai sahabat.

“(Mereka) mengeluh dan menuntut tetapi dalam semangat persahabatan untuk jayakan Malaysia, negara keramat kita. Saya harap pemimpin-pemimpin lain belajar daripada semangat yang mereka tunjukkan,” katanya.

-BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here