Mufti Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Kipli Yassin bergambar selepas menerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul peringkat kebangsaan pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2024M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Foto AIZAT ZAINAL, 16 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Giat dalam menyampaikan silang budaya pelbagai entik di Sarawak menjadi asbab pemilihan, Datuk Kipli Yassin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1146H/2024 hari ini.

Beliau yang berusia 57 tahun itu berkhidmat sebagai Mufti Sarawak sejak 1 Mac 2010 juga diberi pengiktirafan kerana telah memartabatkan nilai marhabah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Madani.

Mengulas mengenai pencapaiannya, anak kelahiran Sarikei itu telah memikul tugas yang sangat berat sepanjang 14 tahun perkhidmatannya dalam menyampaikan dakwah di Bumi Kenyalang yang masyarakatnya begitu majmuk dan menuntut sensitiviti dijaga.

“Tetapi bila kita ambil sifat Rasulullah SAW, menyampaikan fatwa dan dakwah itu sendiri supaya masyarakat faham sekali gus dapat menerima keputusan-keputusan fatwa itu sebagai suatu yang perlu dipatuhi umat Islam.

“Keputusan seperti ini supaya orang bukan Islam juga memahami apa yang kita putuskan untuk orang Islam dan akhirnya mereka dapat menerima bahawa inilah yang merupakan kehidupan beragama yang ada sempadan masing-masing,” katanya pada sidang media, hari ini.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan anugerah tersebut kepada Kipli pada Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1446H/2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.

Menurut Kipli, menyampaikan syariah Islam merupakan asas penting bagi mengelakkan umat Islam di Malaysia tidak terjebak dalam perkara yang boleh merosakkan akidah.

“Mudah-mudahan dengan sambutan Maulidur Rasul inilah kita dapat mengambil, menggali dan meneroka sirah Nabi Muhammad SAW yang sangat hebat dalam erti kata menampilkan keindahan Islam itu sendiri, Insya-Allah,” jelasnya.

Majlis hari ini turut menyaksikan enam penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1446H/2024 dikurniakan kepada Yang Dipertua Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia Datin Aminah Zakaria, Ahli Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah Datuk Ab Jamal Sakaran dan Pakar Mikrobiologi Datin Prof Dr Khatijah Mohamad Yusoff.

Turut menerima anugerah tersebut, Bekas Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia Prof Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain, Presiden Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia Sariah Ibrahim dan Michael Tong Wai Siong yand lebih kenali sebagai Uncle Mike. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here