Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menyampaikan Anugerah Perdana kepada Datuk Kipli Yassin sambil diperhatikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar pada Majlis Sambutan Maulidul Rasul SAW peringkat Kebangsaan 2024, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 16 SEPTEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Mufti Sarawak, Datuk Kipli Yassin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1446H/2024.

Kipli, 57, merupakan anak kelahiran Selalang, Sarikei, Sarawak dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dengan Kepujian (Kelas Pertama) dari Universiti Malaya.

Beliau juga mengetuai bidang penyeragaman dan pengurusan fatwa untuk Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam selain Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan negeri.

Selain itu, beliau juga bertanggungjawab kepada Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Kerajaan Sarawak berkaitan hal ehwal hukum syarak selain menasihati Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam mengeluarkan fatwa dan perkara berkaitan Undang-Undang Islam.

Manakala dalam bidang penulisan pula, Kipli telah menghasilkan beberapa siri terbitan antaranya Perpaduan Pemangkin Pembangunan Ummah, Kasihnya Ibu Membawa ke Syurga, Nota Ramdan: Menggapai Taqwa Menapak Semula Fitrah dan Indahnya Syawal.

Dalam pada itu, dalam konteks sumbangan di peringkat kebangsaan pula, beliau turut menyertai Pasukan Penyelidikan dari Malaysia tentang vaksin di Cuba.

Turut diumumkan enam penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW iaitu Datin Aminah Zakaria, Datuk Ab Jamal Tun Dr Sakara, Datin Paduka Prof. Dr Khatijah Mohamad Yusoff, Prof. Emeritus Dr. Shaharir Mohamad Zain dan Michael Tong Wai Siong.

Seorang lagi penerima adalah orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Sariah Ibrahim yang juga Presiden Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia (DAWN).

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan anugerah kepada semua penerima iaitu hadiah wang tunai, medal dan sijil penghargaan.

Bertemakan ‘Al Falah Pemacu Malaysia Madani’, sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H berlangsung di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah turut berkenan hadir pada sambutan hari ini selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta jemaah menteri. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here