Orang ramai yang hadir pada Program Malam Cinta Rasul Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/ 2024 di Dataran Putra, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 15 SEPTEMBER 2024.

Setiap tahun umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidur Rasul. Malah kerajaan memperuntukkan satu hari sebagai cuti umum khas bagi menyambut hari keputeraan junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Pada tahun ini ia jatuh pada 16 September 2024, bersamaan tarikh sambutan Hari Malaysia.

Walaupun sudah sekian lama sambutan Maulidur Rasul diadakan di Malaysia namun masih ada segelintir umat Islam yang tidak selesa dengan sambutan tersebut kerana dikatakan bid’ah yang berlawanan dengan syarak. Bagi mereka jika ia amalan yang dituntut oleh syarak maka sudah tentu para sahabat, Tabi’in dan imam empat mazhab (Syafie, Abu Hanifah, Malik dan Ahmad) terlebih dahulu melaksanakannya.

Malah mereka juga mendakwa Saidatina Aisyah yang hidup melebihi empat puluh tahun selepas kewafatan baginda pun tidak melakukannya. Begitu juga Salafus Salih tidak juga melaksanakannya. Di samping itu Nabi sendiri tidak pernah menyuruh para Sahabat mengadakan sambutan hari keputeraannya. Justeru, bagi mereka apakah kita lebih mencintai Rasulullah berbanding golongan Sahabat dan Salafus Salih (zaman tiga kurun yang awal yang disifatkan Nabi sebagai kurun terbaik).

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan bergambar bersama penerima anugerah pada Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan bagi Tahun 1446 Hijrah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 16 SEPTEMBER 2024.
Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan bagi Tahun 1446 Hijrah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 16 SEPTEMBER 2024.

Semua dakwaan ini bukanlah baharu malah ia telah berlegar sejak beratus tahun dahulu lagi sehingga menjadi doktrin yang khusus. Fahaman inilah yang mengatakan, “apa-apa yang tidak dilaksanakan oleh Nabi SAW maka ia adalah bid’ah yang wajib ditolak, dan barang siapa yang tetap melakukannya maka tempatnya di neraka.”

Islam Agama Rasional

Di antara kelebihan yang nyata dalam Islam, sesuatu yang ditegah, disuruh dan didiamkan tanpa sebarang suruhan dan tegahan mampu ditangkapi oleh akal waras manusia walaupun tidak bersifat keseluruhan. Ini kerana Islam adalah agama yang meraikan kerasionalan akal. Islam bukan agama candu ataupun tabu semata-mata sehingga memerintahkan umatnya melaksanakan segala suruhan dan tegahan tanpa mengetahui hikmat di sebaliknya.

Dalam isu sambutan Maulidur Rasul ini memang jelas tidak dilaksanakan oleh para Sahabat, Tabi’in dan Salafus Salih. Namun adakah apabila tidak dilaksanakan oleh mereka maka kita perlu akur bahawa tidak boleh dilaksanakan di zaman kita juga tanpa mempertimbangkan kenapa tidak dilaksanakan sebelum ini?

Persoalannya di sini, mengapa mereka tidak melaksanakannya? Adakah disebabkan ditegah oleh syarak, atau pun tidak ada keperluan untuk melaksanakannya? Dari sudut lain adakah sambutan Maulidur Rasul merupakan ibadat yang khusus seperti Aidilfitri, Aidiladha, hari Arafah dan lain-lain, sehingga memerlukan nas untuk dilaksanakan? Atau adakah ianya ibadat umum yang telah bercampur dengan adat setempat? Contohnya perkahwinan, ia adalah ibadat umum namun turut mengandungi adat.

Nabi tidak mewajibkan umatnya berkahwin, hanya menggalakkannya sahaja dan memakruhkan hidup membujang. Namun seseorang itu tetap wajib berkahwin jika ditakuti terjebak di lembah perzinaan. Justeru, jika seseorang muslim yang tidak berkahwin sehingga meninggal dunia disebabkan tiada jodoh yang sesuai atau pun keuzuran tertentu, maka ia tidak berdosa. Ini kerana perkahwinan itu merupakan ibadat yang bercampur dengan adat.

Bahkan sambutan dan acara perkahwinan itu sendiri banyak dipengaruhi oleh adat setempat. Selain itu, ada juga individu yang tidak memerlukan perkahwinan kerana lebih cintakan ilmu dan penyebarannya terhadap ummah sebagaimana yang berlaku ke atas Imam Nawawi, Imam Suyuti, ibn Jarir al-Tabari, al-Zamakhsyari dan lain-lain.

Keperluan Program Sambutan Maulidur Rasul

Sesungguhnya sambutan Maulidur Rasul tidak diperlukan di zaman Sahabat, Tabi’in, fuqaha mazahib dan Salifus Salih. Ini kerana mereka masih boleh mengikuti kisah siri teladan akhlak terpuji Nabi bahkan ia masih segar kerana zaman mereka tidak terlalu jauh berbanding zaman kita. Begitu juga kerosakan yang berlaku di zaman kita adalah lebih besar jauhnya berbanding di zaman mereka akibat dari pelbagai pengaruh dan godaan serta tarikan dunia ketika ini. Salafus Salih adalah golongan yang bijaksana maka sudah tentu mereka tidak melakukan sesuatu yang tidak diperlukan di zaman mereka.

Di zaman kita, sambutan Maulidur Rasul diperlukan. Melalui sambutan Maulidur Rasul sekurang-kurangnya generasi muda mudi masa kini diberi motivasi terhadap kecintaan terhadap Nabi SAW dan melalui kisah teladan terpuji membawa mereka ke arah mempertingkatkan amalan dan sunnah Nabi berdasarkan ilmu dan bukannya ikutan semata-mata.

Bagaimana kita akan mengikut jalan Nabi sedangkan kita sendiri jahil tentang ahklaq nabi dan hati masih jauh dari mengingati dan mencintai Nabi. Bagaimana kita ingin mencintai nabi sedangkan kita sendiri tidak kenal Nabi melalui watak dan akhlaq mulia baginda. Setiap kali ingatan itu diperbaharui melalui sambutan Maulidur Rasul ia akan membersihkan karat hati dan nafsu syahwat yang sering melingkari kehidupan kita akibat saban hari sibuk mengejar kekayaan dan kesenangan duniawi tanpa memikirkan nasib di akhirat nanti.

Justeru, sambutan Maulidur Rasul adalah manifestasi cinta kita terhadap Nabi yang perlu diperbaharui setahun sekali bertepatan ayat 31 Surah Ali ’Imran yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihani Allah maka ikutilah daku nescaya Allah mengasihani kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu.”

Sebenarnya Maulidur Rasul hanyalah uslub atau kaedah yang digunakan untuk menghayati cinta Nabi yang akhirnya menarik manusia mengikut sunnah Nabi. Mereka yang menegahnya, kerana terkeliru di antara uslub dan matlamat yang hendak dicapai dari pengisian yang dilakukan dalam sambutan tersebut.

Mereka hanya bertaklid dengan zaman silam para fuqaha, sedangkan keperluan terhadap sambutan Maulidur Rasul tidak wujud sama sekali ketika itu. Bukan semua hukum yang diputuskan melalui ijtihad di zaman silam perlu diabadikan buat selama-lamanya dalam kehidupan umat Islam, tanpa melihat kepada keperluan semasa dan setempat.

Pengisian Sambutan Maulidur Rasul

Bid’ah perlu diukur dengan kaedah i’tibar al-ma’al (pengambil kiraan terhadap kesudahan akhir) yang merangkumi maslahah dan mafsadah sesuatu perbuatan itu. Ini kerana sambutan Maulidur Rasul bukan dianggap sebagai ibadat khusus. Yang dilarang dan dianggap bid’ah ialah mengadakan ibadat khusus.

Adapun pengisian dalam sambutan Maulidur Rasul hanya berupa amalan salawat, membaca zikir, ceramah jemputan, membaca kisah dan riwayat Nabi dan lain-lain. Di samping itu juga terdapat jamuan yang disediakan oleh penganjur tertentu. Semua amalan tersebut tidak ditegah bahkan digalakkan melalui nas tertentu justeru bagaimana pula diharamkan semata-mata sambutan hari tersebut tiada nas yang khusus.

Dalam hal ini program sambutan Maulidur Rasul tidak memerlukan dalil kerana bukan ibadat khusus. Walaupun program tersebut tidak mengandungi dalil tertentu namun pengisian dan atur caranya masih bersandarkan dalil.

Bagi mereka yang melaksanakannya bersandarkan cinta kepada Nabi Muhammad SAW maka ia diberi pahala. Mereka yang terlibat kerana ingin bersama-sama berzikir, bertasbih, bertahmid, bertahlil dan bersalawat, diberi ganjaran pahala namun tidak boleh diiktiqadkan sebagai ibadat khusus.

Manakala mereka yang hadir semata-mata memenuhi jemputan dan meraikan majlis bersama pemimpin dan rakan taulan, bergembira dengan program tersebut paling tidak ia adalah harus dan tidak berdosa kerana tidak ada nas yang khusus menegahnya daripada hadir ke program tersebut. Demikian juga tidak ada nas yang menegah umat Islam dari bergembira dengan hari keputeraan Nabi SAW.

Oleh Dr Ridzwan Ahmad

Penulis merupakan pensyarah kanan di Jabatan Fiqh Dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, dan boleh dihubungi di [email protected] 

-MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast