Datuk Seri Dr Mujahid Yusof .

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa pihak berkuasa agama di setiap negeri untuk menguatkuasakan fatwa 1994 kepada semua Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) supaya kembali kepada syariat Islam.

Timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, sudah tiba masanya semua pihak bekerjasama dalam memelihara keselamatan akidah dan awam yang disalahgunakan oleh lumpulan ajaran sesat.

“Tiba masanya semua pihak bergabung tenaga bagi memelihara keselamatan akidah dan keselamatan awam yang dilakukan oleh ajaran-ajaran sesat Islam yang bertopengkan simbol agama kononnya untuk ‘membela Islam dan Melayu’ bagi meraih simpati dan sokongan orang ramai,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas Mujahid, ia kerana Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam sejak awal 2018 telah memaklumkan bawah Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan GISB merupakan ‘jelmaan’ daripada Rufaqa dan sebelumnya Al Arqam telah diisytiharkan sebagai sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Sejak 1994 hingga kini GISBH masih kekal mengamalkan kesesatan amalan Al Arqam dan ini sangat bahaya kepada keselamatan Aqidah umat Islam yang boleh membawa kepada kesyirikan dan kekufuran,” katanya lagi.

Sebagai rekod, kerajaan menerusi Majlis Fatwa Kebangsaan pada 5 Ogos 1994 telah mengharamkan kumpulan Al-Arqam.

Majlis berkenaan memutuskan ajaran dan fahaman kumpulan Al-Arqam bertentangan dengan akidah dan syariah Islam sekali gus mengakibatkan syirik.

Mengulas lanjut. Mujahid berkata, AMANAH secara konsisten mengutuk pihak yang menggunakan simbol dan ajaran Islam untuk kepentingan diri sehingga sanggup melakukan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

“Amanah memandang serius isu GISBH dan dakwaan terhadapnya yang kini berada dalam siasatan polis. Dakwaan eksploitasi kanak-kanak termasuk perlakuan seksual seperti liwat dan meliwat adalah sesuatu yang perlu dikutuk sekerasnya oleh semua masyarakat dan AMANAH dengan ini menuntut ke atas para penjenayah yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan pada kadar segera dan menghukum mereka mengikut lunas-lunas perundangan negara.

“Perbuatan mengeksploitasi atas nama agama dan menggunakan kanak-kanak ini untuk mengutip derma harus dihentikan segera termasuk ke atas pihak lain,” jelasnya.

Bagaimanapun Mujahid berkata, parti tersebut meletakkan keyakinan terhadap polis dan institusi perundangan negara untuk mengadili GISBH.

Terdahulu, seramai 392 kanak-kanak diselamatkan daripada 20 rumah amal GISBH menerusi Ops Global pada 11 September lalu.

Kanak-kanak berkenaan dieksploitasi malah didakwa diajar dan dididik cara untuk meliwat, menurut polis. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here