Ahmad Maslan melihat pameran dalam Program 'Highway Concession Conference' (HCC) 2024 di Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan sedang mengkaji teknologi berkesan dalam menangani masalah kesesakan di lebuh raya negara ini khususnya ketika tempoh cuti perayaan dan cuti umum.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pelbagai langkah berkesan sedang dikaji bagi menyelesaikan masalah tersebut.

“Alasan kenderaan atau trafik yang bertambah tidak boleh digunakan lagi tetapi langkah penyelesaian perlu dicari.

“Saya harap PLUS dan syarikat konsesi lain dapat menggunakan teknologi moden yang ada sebagai contoh teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mengatasi kesesakan terutamanya waktu cuti lebih daripada dua hari yang sememangnya akan mengalami sesak berpanjangan.

“Kita mesti mencari formula untuk penyelesaian ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Highway Concession Conference (HCC) 2024 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Azman Ibrahim dan Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Ir Hasni Mohammad.

Pada masa sama, Ahmad berkata, pelbagai langkah sedia ada yang dilaksanakan seperti pembukaan smart lane di 18 lokasi dan laluan kontra dilihat masih perlu diperluaskan.

“Langkah dibuat sekarang seperti smart lane diharap dapat dipanjangkan jaraknya dan tempoh masanya kerana sekarang ini terdapat smart lane yang dibuka tidak panjang dan langkah itu tidak dapat selesaikan masalah kesesakan.

“Jadi, ia perlu diperbanyakkan dan diperluaskan penggunaannya,” katanya.

Selain itu, Ahmad berkata, pelaksanaan My-TTA oleh PLUS juga boleh diwar-warkan supaya pengguna boleh merancang perjalanan dengan mengambil tahu masa sesuai untuk menggunakan lebuh raya terutamanya ketika kesesakan berlaku.

Katanya, pelaksanaan compulsory exit ketika berlaku kesesakan teruk atau kemalangan juga boleh diperluaskan. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here