Ahmad Zaharil memberi nasihat kepada 'Abang Bas' selepas proses membayar wang jaminan RM40,000 dibayar di Kompleks Mahkamah Muar, hari ini.

MUAR – Keluarga ‘Abang Bas’ bercadang mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap individu dan selebriti yang didakwa menimbulkan fitnah terhadap lelaki itu.

Peguam secara probono, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar berkata, tindakan itu diambil susulan kecaman yang diterima pelbagai pihak sepanjang ditahan polis selepas dituduh di mahkamah.

“Untuk mensabitkannya, kita jangan melihat daripada satu perspektif tetapi lihatlah keseluruhan. Adalah tidak adil bila anda tidak mengenalinya (Abang Bas) tetapi membuat pelbagai andaian menerusi media sosial,” katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Muar di sini hari ini.

Ahmad Zaharil berkata, jika tidak mahu tindakan undang-undang diambil, pihak terlibat masih berkesempatan  membuat permohonan maaf kepada keluarga ‘Abang Bas’.

Jelas beliau, semuanya bergantung kepada ahli keluarganya kerna selama ini pelbagai kecaman dibuat dalam media sosial terhadap ‘Abang Bas’.

“Sudah tentu kita sudah mengenal pasti mereka…ramai, keluarga mengarahkan mereka (warganet) disaman. Kenapa tidak (saman selebriti)? Mereka tidak ada peluang untuk membela diri ketika itu.

“Sebagai peguam saya nasihatkan pecahlah tabung buluh, tabung ayam, kira siap-siap. Jadi senang nak kira nanti. Selama ditahan, dia dikecam sehebat-hebatnya tanpa belas ihsan,” katanya.

Sebelum itu, proses membayar ikat jamin dilakukan Ahmad Zaharil di mahkamah di sini selepas keluerganya berjaya mengumpul RM40,000 hasil sumbangan orang ramai.

‘Abang Bas’ sebelum ini ditahan di Pusat Koreksional di sini sejak Selasa lalu selepas gagal membayar ikat jamin berjumlah RM40,000 yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Muar dan Batu Pahat.

Keseluruhan jumlah ikat jamin itu dikenakan membabitkan tiga pertuduhan antaranya mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017, Seksyen 15 (a) (iii) akta sama dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Pada Rabu lalu, keluarga ‘Abang Bas’ telah membuka tabung kutipan derma bagi membantu mengumpul dana untuk membayar wang jaminan tersebut.

Tabung derma menggunakan akaun bank milik kakaknya yang telah memuat naik hantaran dalam Facebook miliknya.

Wang jaminan tersebut berjaya dikumpul dalam tempoh tiga hari daripada rakyat Malaysia sebelum saluran sumbangan itu ditutup oleh kakaknya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here