Orang ramai yang hadir pada Program Malam Cinta Rasul Sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/ 2024 di Dataran Putra, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 15 SEPTEMBER 2024.

Oleh: Dr. Mahyudin Daud, Dr. Nor Hazrul Mohd. Salleh

PERAYAAN Maulid Nabi adalah bukti cinta kita kepada junjungan Nabi Muhammad SAW sekali gus memuliakan Baginda dan bergembira dengan kurnian Allah SWT yang paling besar. Sambutan tersebut juga adalah satu cara menzahirkan syukur kepada Allah Yang Maha Esa atas nikmat kelahiran Nabi SAW sebagaimana firman Allah SWT: “Katakanlah wahai Muhammad SAW (kepada umatmu) dengan limpah kurnia Allah dan dengan
rahmatNya maka dengan demikian bergembiralah oleh kaum muslimin”. Bagi pencinta Rasulullah SAW, sambutan tersebut adalah wajar secara logik dan disyariatkan berdasarkan al-Quran dan Sunnah. Umat Islam sejak berkurun lamanya telah mengadakan sambutan tersebut dan para ulama telah bersepakat di atas hukum istihsannya bahkan tidak ada seorang ulama muktabar pun yang mengingkarinya.

Merayakan Maulid Nabi hakikatnya adalah memuliakan, meraikan dan bergembira dengan insan pilihan Allah SWT yang menjadi tuntutan dalam syariat. Ini kerana perayaan tersebut melambangkan cinta kepada Baginda sekaligus menyempurnakan rukun iman sebagimana hadis yang diriwayatkan oleh al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali yang berkata: Cinta kepada Nabi SAW adalah sebahagian daripada asas-asas iman dan digandingkan dengan cinta kepada Allah SWT. Allah SWT sendiri yang menggandingkan cinta kepadaNya dengan cinta kepada Nabi SAW dan menjanjikan balasan yang baik kepada mereka yang mencintai kedua-duanya lebih daripada mencintai perkara yang biasanya dikasihi, seperti kaum kerabat, wang ringgit, tanah air dan sebagainya (Rujuk Fath al-Bari, 1/48).

Perayaan Maulid Nabi disambut oleh seluruh umat Islam di dunia. Rata-rata perayaan tersebut terisi dengan acara  menghimpunkan manusia dengan sama-sama mendengar bacaan al-Quran, berzikir, bernasyid memuji Baginda, berdiri ketika mendengar kisah hidupnya dan memberi makan kepada jemaah sebagai sedekah. Ada juga yang berpuasa kerana syukur kepada Allah atas kurnian agung ini. Semua itu tidak lain kecuali menzahirkan kasih sayang ke atas junjungan Rasulullah SAW dan kegembiraan dengan hari kelahirannya yang mulia ke dunia ini.

Pensyariatan sambutan Maulid Nabi Perayaan Maulid Nabi sememangnya disyariatkan dengan al-Quran, sunnah dan kesepakatan para ulama. Dalil pensyariatan daripada al-Quran ialah firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan ingatkanlah mereka tentang hari-hari Tuhan.” (Surah Ibrahim: ayat 5). Hari-hari Allah bermaksud hari-hari kemenangan para Nabi, para wali dan hari-hari kelahiran mereka. Dan hari yang paling agung tentunya ialah hari kelahiran insan pilihan yang dikasihi iaitu Nabi Muhammad SAW.

Allah SWT memuliakan hari-hari kelahiran para Nabi dan menjadikan hari-hari tersebut hari-hari damai. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan kesejahteraan dilimpahkan kepadanya (Nabi Isa AS) pada hari dia dilahirkan.” (Surah Maryam, ayat 15). Ini kerana pada hari kelahiran seorang Nabi disempurnakan nikmat penciptaan yang menjadi asbab kepada setiap nikmat selepasnya. Realitinya, hari kelahiran Nabi SAW
adalah lebih agung kerana ia adalah asbab kepada setiap nikmat di dunia dan akhirat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad SAW (kepada umatmu) dengan limpah kurnia Allah dan dengan rahmatNya maka dengan demikian bergembiralah oleh kaum muslimin”. (Surah Yunus, ayat 58). Dan bukankah Nabi SAW adalah rahmat yang paling besar bagi semua makhluk? Ibnu Abbas RA ketika mentafsirkan ayat di atas berkata: Maksud kurnia Allah ialah ilmu dan rahmatNya ialah Nabi Muhammad SAW. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan Kami tidak mengutus kamu (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam,” (Surah al-Anbiya’, ayat 107)

Manakala dalil pensyariatan daripada sunnah pula ialah apabila Nabi SAW ditanya tentang puasa pada hari Isnin dan baginda bersabda: “Itulah hari kelahiranku.” (Sahih Muslim) Hadis ini adalah petunjuk kepada pensyariatan meraikan Baginda dengan berpuasa pada hari kelahirannya. Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah melewati beberapa orang Yahudi yang berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram), lalu Baginda bersabda: “Puasa apakah ini?” Mereka berkata: Pada hari ini Allah SWT menyelamatkan Musa dan Bani Israil daripada tenggelam, menenggelamkan Firaun, dan hari di mana kapal Nuh mendarat di atas bukit Judi lalu Nuh dan Musa berpuasa kerana bersyukur kepada Allah SWT. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Aku lebih berhak dengan Musa dan lebih berhak berpuasa pada hari ini”. Baginda kemudiannya berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan para sahabatnya untuk berpuasa. (Hadis Riwayat Imam Ahmad dalam Al-Musnad, Abu al-Syeikh dan Ibn Mardawayh)

Buraydah al-Aslami RA berkata, Rasulullah SAW keluar ke beberapa peperangan. Ketika pulang Baginda didatangi seorang hamba perempuan hitam dan berkata, Wahai Rasulullah! Saya telah bernazar bahawa jika Allah SWT mengembalikan kamu dengan selamat maka saya akan memainkan kompang di hadapanmu dan menyanyi. Rasulullah SAW bersabda: “Jika kamu benar bernazar maka pukullah kompang dan jika kamu tidak bernazar maka tidak perlu memukulnya. (Riwayat Ibn Abi Shaybah, Imam Ahmad, al-Tirmidzi).

Jika Nabi SAW membolehkan memukul kompang kerana gembira atas kepulangan Baginda dari medan perang dalam keadaan selamat, maka meraikan kedatangannya kepada dunia ini sebagai rahmat kepada sekalian alam sudah tentulah lebih utama.

Sejak abad keempat dan kelima, umat Islam tanpa ada yang ingkar merayakan kelahiran Rasulullah SAW dengan menghidupkan malam maulid dengan pelbagai jenis ibadat seperti memberi makan, berpuasa siang harinya, berdiri ketika sirah Nabi dibacakan, membaca al-Quran, berzikir dan mendendangkan syair serta puji-pujian kepada Rasulullah sebagaimana yang telah direkodkan oleh ahli sejarah Islam seperti al-Hafiz Ibn al-Jawzi, Ibn Dihyah, Ibn Kathir, Ibn Hajar, al-Suyuti dan ramai lagi.

Kesimpulannya, jumhur ulama dalam kalangan salaf dan khalaf telah menetapkan akan pensyariatan merayakan Maulid Nabi yang mulia. Para ulama, ahli hadis dan para fuqaha telah menulis dalam karya-karya mereka bagi menjelaskan hukum istihbabnya sambutan Maulid Nabi SAW dengan dalil yang sahih.

 

 

 

 

Kedua-dua penulis merupakan pensyarah kanan di Program Pendidikan Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast