Ab Rauf (tengah) bergambar bersama penerima pada Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H Peringkat Negeri Melaka 2024, di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah, Melaka hari ini.

MELAKA – Kerajaan Melaka tidak menerima sebarang laporan berhubung dakwaan ajaran sesat di negeri ini yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagaimanapun sentiasa terbuka dan memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.

“Ini termasuklah sekiranya ada perkara-perkara yang perlu diihat untuk dikaji dan diberikan cadangan supaya kita boleh ambil tindakan atau sebaliknya.

“Namun setakat hari ini, kita tak terima lagi laporan berkaitan (GISBH) berbanding negeri-negeri lain malah tidak akan berkompromi sekiranya ada unsur-unsur ajaran yang melanggar akidah atau syariah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H Peringkat Negeri Melaka 2024, di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah di sini hari ini.

Ab Rauf Yusoh

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut meminta JAIM dan Mufti Kerajaan Negeri Melaka (Datuk Halim Tawil) melalui Jawatan Kuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri untuk mengeluarkan fatwa sekiranya berlaku ajaran sesat berkaitan GISBH di Melaka.

Dalam Op Global dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 11 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.

Dalam operasi itu pihak berkuasa turut menahan 171 individu terdiri daripada kakitangan, pengurus dan ustaz di rumah amal berkenaan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan mendapati modus operandi yang dilakukan di rumah amal dikaitkan GISBH adalah mangsa diajar dan dididik cara meliwat.

Mangsa seterusnya diliwat oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here